Home Berita PAS Wilayah

Rakyat Batu Terima Manfaat Bantuan Bakul Makanan

635
SHARE

Oleh : Dhiya’ Muttmainnah
8 Februari 2021

BATU : Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Batu Sub Zon 2 telah menyerahkan sumbangan Bakul Makanan kepada 25 buah keluarga di sekitar Taman Dato’ Senu, baru-baru ini.

Sumbangan Bakul Makanan tersebut adalah salah satu inisiatif di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan untuk sebahagian rakyat dalam kumpulan B40 yang belum pernah menerima sebarang bentuk bantuan sebelum ini.

Hadir dalam pengagihan bantuan tersebut adalah Anggota Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pengarah Kanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang juga merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya.

Program penyerahan sumbangan tersebut turut disertai oleh Pengerusi MPP Parlimen Batu Sub Zon 2, Abu Bakar Abdul Rahman dan beberapa orang ahli jawantankuasa MPP yang lain.

Ustaz Azhar Yahya dalam ucapannya telah menzahirkan keprihatinan beliau terhadap keadaan perumahan penduduk di sekitar Taman Dato’ Senu.

“Usaha-usaha seperti menaiktarafkan kawasan perumahan di Taman Dato’ Senu ini akan disampaikan ke peringkat berwajib agar penempatan di sekitar kawasan ini lebih tersusun dan teratur.

“Ini adalah antara usaha yang dapat dibuat agar keselamatan dan keselesaan penduduk setempat terjaga,” ujar beliau.

Kesemua 25 buah keluarga yang telah menerima bantuan Bakul Makanan ini terdiri daripada penduduk di sekitar Taman Dato’ Senu, Flat Sri Kelantan dan Sri Pangkor.

Sumbangan Bakul Makanan tersebut telah diserahkan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang masih berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan.