KUALA NERUS, 18 September – Perairan Tanjung Gelam pagi ini mencatat sejarah apabila Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli melabuh 18 unit tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda (rekreasi), sebagai ikhtiar memperkasa kelestarian laut negeri.
Keberangkatan tiba baginda di jeti Pejabat Perikanan Kuala Terengganu, Pulau Kambing tepat jam 9.00 pagi disambut penuh hormat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim.
Tuanku berkenan menaiki bot menuju ke lokasi pelabuhan tukun, dan sebaik tiba di perairan Tanjung Gelam, Yang di-Pertuan Muda Terengganu berangkat menaiki tongkang yang telah sedia menanti.
Majlis bertambah bermakna apabila baginda berkenan menekan buzzer sebagai gimik pergerakan kren mengangkat tukun, sebelum menekan air horn yang menandakan pelepasan rasmi ke permukaan air.
Baginda turut berkenan menyaksikan proses melabuh tiga unit tukun pertama, simbol harapan agar usaha pemeliharaan laut ini memberi manfaat besar kepada rakyat dan nelayan tempatan.
Usai majlis, baginda berangkat ke bot dan kembali ke jeti Pejabat Perikanan Kuala Terengganu, sebelum berangkat pulang dengan penuh istiadat.