Home Berita PAS Terengganu

Raja Muda rasmi Kursus Pemimpin Pengakap Udara

24
SHARE

KUALA NERUS – Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli merasmikan Kursus Pemimpin Pengakap Udara Peringkat Kebangsaan 2023 Kali Ke- V di Dewan Sri Nariah, Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di sini hari ini.

Keberangkatan Baginda diiringi Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail dan disambut oleh Yang di Pertua Dewan Undangan negeri, Dato’ Yahaya Ali, Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Nara Setia.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mej.Jen.Prof Dato’ Dr Mohd Zin Bidin (B); Pengerusi Majlis Pengakap Negeri, Tan Sri Dato’ Abdullah Taib, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Mohd Azizi Abdullah.

Sementara itu, Dr Mohd Zin berkata Pengakap Udara bukanlah satu pergerakan berasingan.

“Ianya adalah satu aliran pengakap yang melibatkan diri dalam kegiatan udara serta menerapkan dimensi mengutamakan keselamatan sebagaimana di dalam bidang penerbangan.

“Di kalangan penerbang dan ahli udara, sikap atau ‘attitude’ yang baik sebegini dikenali juga sebagai ‘airmanship’. Oleh itu, Pengakap Udara, di samping melalui latihan kepengakapan, juga harus melalui latihan ‘airmanship’ yang akhirnya dapat membentuk budaya keselamatan (safety culture) yang baik,” ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap penganjuran kursus ini sedikit sebanyak akan membantu menubuhkan dan menguruskan pasukan-pasukan Pengakap Udara, dan memperhebatkan lagi pertumbuhan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.