Home Berita PAS Terengganu

Raja Muda Berkenan Menyantuni 15 Keluarga Mangsa Nahas UPSI

21
SHARE

BESUT – Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli berangkat menyantuni 15 keluarga arwah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris  (UPSI) yang telah terlibat kemalangan bas di Jalan Lebuh raya Timur Barat (JRTB) baru-baru ini.

Keberangkatan baginda tepat pada jam 8.30 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke daerah Besut dan Setiu turut diiringi oleh Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja serta Tengku Puteri Daulath Raja.

Perjalanan ziarah penuh makna itu bermula di kediaman keluarga salah seorang mangsa di Kampung Rahmat, Setiu, sebelum diteruskan merentas waktu selama lima jam ke 14 lagi lokasi berbeza di daerah Besut. Setiap persinggahan sarat dengan emosi dan kasih yang tidak berbelah bahagi.

Kunjungan penuh empati itu adalah bertujuan bagi menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap tragedi yang telah menimpa semua mangsa yang terkorban.

Dalam pada itu, kehadiran baginda bukan sekadar memberikan kata-kata semangat, tetapi turut disertai dengan doa dan tanda solidariti yang mendalam terhadap rakyat, khususnya buat keluarga mangsa yang sedang menempuh detik paling mencabar dalam kehidupan mereka.

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada keluarga mangsa sebagai tanda kasih dan sokongan, dengan harapan bantuan itu mampu meringankan beban yang ditanggung serta memberi sedikit kelegaan di tengah-tengah kesedihan yang melanda.

Bagi memberkati setiap kunjungan baginda, ziarah itu juga telah disertakan dengan doa yang diketuai oleh Pegawai Agama Istana 2, Mohd Faiz Azuan Mazuki, di sini, hari ini.

Menambah makna dalam kunjungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin turut hadir di dua lokasi terakhir kunjungan itu yang berada dalam kawasan naungannya sebagai tanda sokongan dan solidariti bersama keluarga mangsa yang sedang meniti saat-saat sukar.

Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah telah menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah baginda berdua kepada seluruh keluarga mangsa.

Difahamkan, tragedi yang meruntun hati seluruh negara itu berlaku sewaktu para pelajar dalam perjalanan kembali ke kampus selepas menikmati cuti Aidiladha terakhir bersama keluarga tercinta.