Home Berita PAS Terengganu

Ragbi Piala Agong 2023: Raja Muda bantu Terengganu belasah Selangor

24
SHARE

KUALA TERENGGANU – DTYM Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli berkenan membantu pasukan Ragbi Terengganu membelasah Selangor dalam aksi pertama Kejohanan Ragbi Piala Agong 2023, Sabtu lalu.

Baginda yang masuk sebagai pemain gantian membantu pasukan mencatatkan dua try terakhir untuk Terengganu menang bergaya dengan skor 72 – 6.

Dalam perlawanan minggu kedua yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu, Terengganu mendahului 36-0 pada separuh masa pertama melalui lima try dan empat conversion.

Bersambung separuh masa kedua, Terengganu menjarakkan kedudukan kepada 53-0 sebelum Selangor berjaya mendapatkan tiga mata pertama setelah pemain mereka dikasari.

Berbaki tiga minit sebelum tamat permainan, Selangor menambah tiga mata lagi sebelum Terengganu menutup saingan dengan dua lagi try menjadikan skor 72-6 pada akhir perlawanan.

Kemenangan tersebut melonjakkan semangat Terengganu menjelang aksi minggu ketiga menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan penentuan juara kumpulan D, pada 7 Oktober ini.

Sebanyak 14 pasukan beraksi dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong 2023 bermula dengan aksi peringkat kumpulan yang diadakan secara liga sepusingan (round robin), dengan lima juara kumpulan dan tiga naib juara terbaik mara ke suku akhir.

Aksi suku akhir akan berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14 hingga 15 Oktober, manakala perlawanan separuh akhir pada 18 Oktober, penentuan tempat ketiga/keempat dan final pada 21 Oktober akan berlangsung di Stadium Ragbi Perak, Ipoh.

Ragbi Piala Agong 2023 boleh ditonton secara langsung di laman Facebook Malaysia Rugby dan Ragbi Online.