KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu melalui tulisannya jelas memaparkan kekecewaannya terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang gemar berpolitik setiap masa daripada memikirkan soal rakyat dan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, amat jarang Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menulis artikel dengan nada sebegitu kecuali ia benar-benar serius.
”Jika melihat bait-bait tulisannya dan memahami maksudnya, ia menjelaskan apa itu politik, ketika dan saat mana berpolitik, peranan serta fungsi sebagai pentadbir serta tugas untuk memaju dan memakmurkan negeri/negara secara kolektif sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.
”Namun selepas tamatnya PRN (Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15), seolah-olah kelihatan seperti negeri yang diterajui Perikatan Nasional (PN) mahupun penyokong serta pendokong PN bakal dihukum kerana pegangan politiknya.
”Malaysia adalah sebuah negara berdaulat, begitu juga negeri-negeri yang menjunjung kesatuan yang membina Malaysia. Hormatilah perbezaan pandangan,”ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui hantaran di facebooknya, di sini, hari ini.
Tambah Khalil, ketika sebelum ini Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang meminta semua pihak menghormatinya serta dilayan dengan adil, begitu juga PN pada ketika ini.
”Jangan cakap tak serupa bikin dan ‘double standart’ kerana sikap beginilah ramai rakyat muak dan memandang hina kepada ahli politik dan pentadbir,”ujarnya.