Home Berita PAS Terengganu

Qabil Irfan berlepas ke Sepanyol sertai siri perlumbaan ESBK

18
SHARE

KUALA LUMPUR – Pelumba muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan telah berlepas ke Sepanyol bersama bapanya sebagai persiapan menghadapi pusingan kedua dan ketiga España Superbike Championship (ESBK) yang bakal berlangsung bulan ini.

Sebagai persiapan awal, Qabil dijadual menyertai sesi ujian tertutup (Private Test) minggu ini di Litar Motorland Aragon, Sepanyol.

Ujian ini akan dijalankan bersama pasukannya, Frando Racing VHC Team Liqui Moly, bagi memastikan persediaan teknikal dan fizikal berada pada tahap optimum menjelang aksi sebenar.

Pusingan kedua ESBK akan berlangsung di Litar Catalunya pada 21 hingga 22 Jun 2025.

Manakala pusingan ketiga dijadual kembali ke Litar Motorland Aragon pada 28 hingga 29 Jun 2025.

Kehadiran Qabil di pentas antarabangsa ini sekali lagi membuktikan komitmen dan potensi besar pelumba muda negara dalam mengharumkan nama Malaysia di persada perlumbaan motosikal dunia.

Menurut bapanya, Azlan Abdul Rahman, aspek pemakanan Qabil turut diberi perhatian dengan penyediaan hidangan khas.

“Ini bagi memastikan tahap tenaga dan kesihatan anaknya kekal berada pada paras terbaik sepanjang kempen ESBK kali ini,” katanya.