KUALA TERENGGANU – Perkampungan Ilmu Tafaqquh Fiddin Tok Syeikh Duyong Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man di sini dijangka mula beroperasi untuk fasa pertama mulai 1 Februari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata perkampungan tersebut meliputi tiga fasa.
Katanya, fasa pertama sudah siap dan kerajaan negeri menunggu kelulusan masuk daripada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
“Fasa pertama boleh menampung kapasiti antara 60 hingga 80 pelajar dan buat sementara ini pelajar kelas tafaqquh berkenaan sudah sampai sesi pengajian kedua.
“Kita (kerajaan) telah hantar pelajar sesi pengajian pertama ke Mesir baru-baru ini untuk mengikuti pengajian di sana dalam pelbagai bidang pengajian Islam dan sesi kedua sedang beroperasi di tempat sementara Masjid Seberang Takir Kuala Nerus,” jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Imaratul Ilmi Ke 4 Kolej al Quran Terengganu (KQT) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini hari ini.
Kerajaan Negeri katanya akan meneruskan pembangunan fasa kedua dan fasa ketiga pusat pengajian tersebut.
Walau bagaimanapun jelasnya, kerajaan berhasrat untuk menggabungkan pembangunan fasa dua dan fasa tiga secara serentak untuk tujuan menjimatkan kos pembinaan.
Menurutnya, fasa dua melibatkan pentadbiran, galeri ulama dan asrama banat (wanita), sementara fasa tiga melibatkan warga emas berkonsepkan pendidikan sepanjang hayat melibatkan kapasiti 100 pelajar.
“Secara automatik Masjid Kristal (di TTI) boleh digunakan sebagai tempat untuk solat berjemaah dan solat Jumaat dan ini akan menjadi pusat daurah untuk pengajian Kitab Turath (kitab kuning) di masa akan datang,” jelasnya.
Kerajaan juga katanya berhasrat mewujudkan cawangan kelas tafaqquh fiddin di setiap daerah sebagaimana dinyatakan dalam manifesto pilihan raya negeri baru-baru ini.
“Kerajaan mungkin memilih daerah Kuala Nerus atau Marang untuk ‘pilot project’ kemudian setelah melalui peringkat tertentu mereka menyambung pengajian di Perkampungan Ilmu Tok Syeikh Duyong pula dan kemudian seterusnya mereka dihantar belajar di Mesir,” ujarnya lagi.
Tambahnya, pusat pengajian tersebut berkonsepkan eko-tuorism bersesuaian dengan TTI antara destinasi menarik negeri Terenagganu yang perlu dilawati pengunjung dari luar dan dalam negeri.
Pusat tersebut katanya akan menjadi pusat aktiviti Islam dan perhimpunan ulama bersama umat Islam di negeri tersebut di masa akan datang bukan sekadar destinasi pelancongan semata-mata.