Home Berita PAS Pahang

Pulau Tioman diabaikan dalam Tahun Melawat Pahang

960
SHARE

Oleh ANDANSURA RABU

Mengecewakan adalah perkataan yang boleh diungkapkan terhadap kemudahan asas di Pulau Tioman. Saya adakan lawatan kerja sehari di pulau tersebut khususnya di Kampung Tekek pada 16 Okt 2017 dan perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian segera oleh pihak Agensi Pembangunan Tioman.

Pertama, tandas awam yang telah tidak berfungsi hampir dua tahun. Keadaan tandas di jeti Tekek merupakan pintu masuk utama para pengunjung namun tandas awamnya berada dalam keadaan yang amat memalukan. Bukan sekadar tiada bekalan air ia juga kotor dan menjijikan.

Kedua, bekalan air yang sering terganggu telah menyusahkam semua penduduk di Kampung Tekek termasuklah pengusaha chalet dan restoran. Projek menaik taraf bekalan air telah terbengkalai lebih daripada lima tahun menjadi tanda tanya kepada penduduk apa sebenarnya masalah pihak kerajaan. Longgokan paip yg banyak seolah-olah ada misteri di sebalik isu ini yang perlukan penjelasan telus daripada pihak kerajaan.

Ketiga, kompleks bebas cukai menjadi “gajah putih” dengan hanya ada dua pintu ruang niaga sahaja yang beroperasi daripada 10 pintu ditingkat bawah. Status pulau bebas cukai bukan sahaja tidak mampu menarik para pengunjung utk datang malahan tidak dapat memberi keuntungan kepada peniaga2 di pulau itu.

Keempat, kemudahan feri yg mengangkut pengunjung amat terbatas sehingga mengakibatkan ada masanya pengunjung terpaksa bersesak-sesak menaiki feri utk masuk dan keluar dari pulau tersebut. Dimaklumkan hanya ada dua feri untuk bawa masuk dan keluar pengunjung melalui Jeti Tanjung Gemok setiap hari.

Persoalan yang timbul adalah apakah manfaat yang diperolehi oleh penduduk Pulau Tioman dengan adanya Tahun Melawat Pahang yang bakal tamat dalam tempoh dua bulan lagi?

Potensi yg ada dipulau tersebut seolah-olah disia-siakan oleh kerajaan untuk menambah sumber pendapatan negeri. Pulau Tioman juga seperti diabaikan sebagai sebuah destinasi pelancongan yang menarik.

Penulis adalah Adun Beserah

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang