Home Berita PAS Terengganu

Pulau Redang lengang, pengusaha resort kekal optimis

105
SHARE

Oleh: Fakrusy Syakirin Ahmad Sabri
KUALA NERUS, 2 Ogos
– Pulau Redang kini melalui fasa suram akibat ketiadaan pengunjung berikutan penularan wabak COVID-19.

Namun buat pengurus operasi resort Redang Bay, Lim You Jing, 37, beliau masih menaruh harapan dan mengambil pelbagai langkah drastik demi mengharungi kesan ekonomi tersebut.

Katanya yang meneraju bisnes keluarganya itu sejak 1989, sebelum dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun ini, resortnya mampu menarik ramai pengunjung terutamanya dari dalam negara.

“Tapi sekarang, kita terpaksa tanggung kerugian sehingga RM800 setiap hari bagi menampung kos harian seperti makanan buat 25 orang pekerja dan minyak diesel untuk bot dan elektrik.

“Antara langkah drastik terpaksa diambil seperti pemotongan kos elektrik dengan penutupan penjana setiap hari pada jam 5 pagi sehingga 7.30 malam, menjual beberapa bot penumpang dan lain-lain lagi.

“Namun begitu, sehingga bulan ke-16 tidak beroperasi, tiada pengurangan saiz staf terpaksa dibuat dalam kalangan pekerja kontrak saya,” katanya ketika ditemubual pemberita di Redang Bay, semalam.

Sehubungan itu, You Jing dan seluruh stafnya mengambil suntikan vaksin COVID-19 dos pertama menerusi program Outreach Imunisasi COVID-19 (PICK) sebagai usaha menghidupkan kembali industri pelancongan mencapai status imuniti berkelompok dengan segera.

“Ini memberi sinar harapan kepada kami bagi mengerakkan kembali pulau ini yang sudah tersadai sekian lama.

“Melalui kerjasama dan perbincangan erat bersama persatuan resort Pulau Redang, kita bersedia menerima pelancong bila-bila masa sahaja bergantung kepada situasi dalam negara,” katanya lagi.

Untuk rekod, kira-kira 1,270 penduduk Pulau Redang telah selesai disuntik dan akan dijangka siap sepenuhnya dengan dos kedua pada 28 Ogos ini.