KUALA NERUS – Pulau Perhentian kini menjadi destinasi baharu paling pesat menerima kehadiran pelancong antarabangsa sebagaimana yang diumumkan platform percutian digital Agoda.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pulau tersebut kini menjadi pilihan komuniti nomad digital yang menjadikannya sebagai pejabat atau rumah kedua.
“Pelancaran program ‘Nomad Digital’ yang kita buat di Perkampungan Budaya pada tahun 2024 telah membuahkan hasil serta maklum balas yang cukup baik.
“Komuniti Nomad Digital ini dia pilih lokasi pulau yang mempunyai infrastruktur cukup lengkap dan ‘coverage internet’ yang kuar kerana mereka hendak gunakan sepanjang masa.
“Sebagai contoh orang Amerika duduk di Pulau Perhentian dia buat kerja sambil melancong sehingga ia menjadi viral dan Pulau Perhentian menjadi tumpuan dan diakui bertaraf antarabangsa,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas hadir ke Program Bersih Pantai Monsun Terengganu 2024 : Platform Pemuliharaan Pantai, di Pantai Batu Burok dan Pantai Seberang Takir, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata komuniti digital nomad dari Timur Tengah serta Eropah yang paling ramai memilih Pulau Perhentian untuk dijadikan rumah kedua atau tempat mereka bekerja.
“Dengan memiliki keindahnya yang mempersonakan, pantai yang cantik dan pemandangan di bawah laut yang memukau menyebabkan pelancong boleh menginap berbulan-bulan,”katanya.
Dalam pada itu, Razali berkata pihak kerajaan negeri bercadang untuk turut memastikan Pulau Redang akan turut menjadi pilihan utama.
“Kita berhasrat hendak pasarkan lagi Pulau Redang serta besarkan lagi nomad digital di pulau tersebut serta akan turut memperluaskannya ke Pulau Kapas, Pulau Tenggol dan lain-lain untuk ‘full swing’ bagi dijadikan nomad digital ini.
“Justeru, saya terlah berbincang dengan beberapa pengusaha menara telekomunikasi bagi memastikan setiap pulau di negeri Terengganu sekurang-kuranya mendapat 70 peratus liputan internet,” ujarnya.