KUALA TERENGGANU – Semua pulau dan pusat peranginan di seluruh negeri ini akan beroperasi semula secara berperingkat bermula awal Mac depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kawasan terbabit ditutup berikutan Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku pada November lepas.
Katanya, semua pengusaha pelancongan telah bersedia menerima kemasukan pelancong ke pulau-pulau di Terengganu.
“Sebenarnya, tiada arahan khusus untuk menutup operasi resort, chalet atau hotel di pulau sepanjang tempoh Monsun Timur Laut berlangsung.
“Justeru, ramai pengusaha masih meneruskan operasi mereka bergantung kepada keadaan cuaca,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Karnival Beautiful Terengganu di Dewan Ghurfah, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Tambah Ariffin Deraman, rata-rata pengusaha sudah faham terhadap lumrah cuaca yang berlaku di Terengganu ini.
“Di samping, kita selalu mengingatkan kepada mereka agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sepanjang musim tengkujuh berlangsung.
“Kemeriahan percutian di Pulau Terengganu akan lebih terasa pada Mac depan apabila ramai pengusaha telah menawarkan pakej percutian menarik di tempat masing-masing,” ujarnya.