Home Berita PAS Terengganu

Pulau Bidong bakal diwarta Taman Negeri Terengganu

134
SHARE

SETIU – Kerajaan negeri akan mewartakan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri Terengganu sebagai langkah untuk mengekalkan khazanah alam dan pemuliharaan warisan, arkeologi, flora dan fauna di pulau berkenaan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata proses pewartaan tersebut dijangka selesai pada Julai depan.

“Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN) akan memulakan operasinya di Pulau Bidong menjelang September dengan pembukaan sebuah pejabat di pulau itu.

“Usaha ini bertujuan untuk menjadikan Pulau Bidong antara produk pelancongan dan daya tarikan di Terengganu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyempurnakan Program Lawatan Kerja ke Tapak Penemuan Shipwreck bertempat di Pulau Bidong semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN), Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.

Tambah Ahmad Faisal, Pulau Bidong merupakan Taman Negeri Terengganu keempat selepas Kenyir, Hulu Terengganu; Tanah Bencah Setiu dan Pulau Tenggol, Dungun.

“Pelbagai tarikan pelancongan yang terdapat di pulau tersebut antaranya peninggalan sejarah pelarian Vietnam, flora dan fauna, 11 monumen negara Asean dan kewujudan galeri dasar laut pertama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap, melalui pengisytiharan tersebut akan meningkatkan lagi usaha memelihara dan memulihara ekosistem dan diversiti alam di Pulau Bidong nanti.