Home Berita PAS Terengganu

Pulangan Berganda: Anak Syarikat Untung, Rakyat Senang

10
SHARE

Oleh: Daing Siti Norbaity Abd Latif

MARANG – Pencapaian anak-anak syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu kini berada di tahap terbaik sekali gus mampu memberi pulangan semula kepada rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jika dibandingkan lima tahun sebelum ini, prestasi anak syarikat negeri menunjukkan peningkatan ketara termasuk TDM Berhad yang sangat  aktif membantu rakyat melalui program kebajikan.

“Kalau syarikat rugi, tidak dapat bantu rakyat. Sebab itu kita tekankan anak-anak syarikat capai keuntungan maksimum, supaya hasilnya boleh dikongsi semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program TDM Bersama Masyarakat Rhu Rendang di Dewan Perpustakaan Marang, semalam.

Program tersebut menyaksikan sumbangan disalurkan kepada penerima asnaf sekitar kawasan DUN Rhu Rendang hasil daripada wakalah zakat TDM Berhad.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan kepada TDM atas usaha turun padang membantu masyarakat di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, program tersebut merupakan sebahagian komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Katanya, kejayaan syarikat bukan sekadar diukur dari segi keuntungan, tetapi juga sejauh mana manfaat yang boleh dikongsi bersama rakyat.

“Kami mahu terus memartabatkan kesejahteraan komuniti, selari dengan status syarikat Patuh Syariah dan misi TDM sebagai ‘corporate citizen’,” ujarnya.

Menurut beliau, program di Rhu Rendang merupakan lokasi keenam siri TDM Bersama Masyarakat, selepas DUN Kota Putera, Jerteh, Ajil, Kuala Besut dan Bukit Besi.

“Antara bentuk bantuan yang disalurkan termasuk wang tunai dan barangan keperluan harian kepada asnaf yang layak,” ujarnya.