Home Berita PAS Terengganu

PRU15: Tiada Parti Menang Total

88
SHARE

KUALA TERENGGANU : Tiada parti yang akan menang secara total untuk memerintah negara jika bersendirian bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) nanti.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman berkata oleh itu PAS tidak boleh memasuki pilihan raya secara persendirian tanpa mengadakan kerjasama dengan parti-parti Melayu Islam lain.

“PAS bersama rakan-rakan politik telah bersama dengan Muafakat Nasional (MN) dan dalam waktu yang sama bersama Perikatan Nasional (PN) hasil daripada pemerintahan Pasca Pilihan raya ke 14 yang lalu,” jelas beliau.

Katanya, PAS telah mengambil alih kerajaan Pusat dari Pakatan Harapan (PH) melalui PN di bawah Perdana Menteri (PM) pada masa itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jadi kita (PAS) perkemaskan PN tanpa kita meninggalkan MN kerana alasan yang kukuh kepada kita adalah perpaduan ummah yang didominasi oleh PAS.

“Sehingga hari ini kita memperkukuhkannya untuk menghadapi pilihan raya kita bersama dengan PN.

“Dalam waktu yang sama kita tidak meninggalkan MN kerana inilah parti-parti yang kalau kita nyatakan yang dominasinya adalah parti-parti orang Melayu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam Bual Bicara Pasca Muktamar PAS Ke 68 di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat menambah, apabila ada gabungan antara PN dan MN, Ustaz Ariffin yakin PH tidak akan berjaya memenangi PRU15 akan datang untuk sekali lagi memerintah negara.

“Sebab itulah penting untuk PAS bersama PN dan dalam waktu yang sama kita masih mengharapkan supaya MN masih boleh diteruskan khususnya untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang,”katanya.

Menurut Ariffin, kira-kira 27 kerusi panas Parlimen memerlukan UMNO/BN dan PN mengadakan persefahaman politik supaya tidak berlaku pertembungan lebih dari dua penjuru dalam PRU 15 nanti.

“Kalaulah tidak berlaku persefahaman dalam PRU15 yang akan datang, sebagai contoh UMNO tetap ingin bersendirian dalam Pilihan raya, mereka tidak boleh bersama dengan PN dan mereka juga tidak mahu bersama dengan PH, maka ada sekitar 27 kerusi tidak selamat kalau berlaku pertandingan tiga penjuru, besar kemungkinan PH boleh menang,” ujarnya lagi.

Justeru beliau yakin perbincangan dan rundingan kerusi perlu diteruskan di antara MN, UMNO dan PN supaya kemenangan secara total PH dapat dinafikan.

“Kita akan dapat nafikan kemenangan secara total PH yang mana kita tahu PH telah gagal (dalam pemerintahan 22 bulannya) sebelum ini terutamanya dalam menangani isu-isu yang berkait dengan orang Melayu dengan menggadai prinsip Islam dan Melayu yang jelas bila mereka memerintah pada Pasca PRU14 yang lalu,” jelasnya.