Home Berita PAS Sabah

PRU15: Muslimat PAS sambut baik cadangan NGO Cina bertanding di Batu Sapi

267
SHARE

Oleh SUZIANA GHANI
25 Oktober 2022

LAHAD DATU: Muslimat PAS Sabah sambut baik cadangan badan bukan kerajaan (NGO) Cina agar PAS bertanding di Batu Sapi.

Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu, berbesar hati dengan kenyataan Encik Liew Kon Seng dari Persatuan Lin Shen Jen Foo Chung Lean San Tang, di dalam akhbar Merdeka Daily semalam yang memberi sokongan kepada PAS untuk bertanding di Parlimen Batu Sapi atas dasar keyakinan mereka kepada reputasi PAS.

“Menurut mereka, masyarakat Cina mengalu-alukan sekiranya PAS mengintai peluang di kerusi parlimen Batu Sapi memandangkan parti itu pernah bertanding di situ sebelum ini.

“Pengerusi persatuannya menyatakan, PAS lebih sesuai menampilkan calon di parlimen terbabit kerana parti itu sering membantu penduduk termasuk nonMuslim terutamanya ketika penularan pandemik Covid-19,” ujarnya yang juga Naib Yang Dipertua PAS Batu Sapi.

Sementara itu, Norsah yang juga mantan calon Parlimen Batu Sapi berkata, kawasan itu telah meletakkan calon bertanding sejak PRU13 dan 14.

“PAS sedia mencipta kemenangan di Batu Sapi yang sememangnya menjadi sasaran jangka masa panjang untuk memenangi kerusi P.185 tersebut.

Liew Kon Sung (dua dari kiri) semasa menyerahkan surat permohonan dana badan keagamaan bukan Islam di pejabatnya kepada Dr Aliakbar Gulasan.

“Sepanjang tempoh tersebut, PAS kawasan tidak pernah berhenti memberikan khidmat kepada masyarakat sama ada dari aspek memupuk keharmonian, kebajikan, pendidikan maupun dakwah,” ujarnya ketika ditanya mengenai kemungkinan PAS akan bertanding di situ.

Beliau berkata, Muslimat PAS Sabah siap siaga membantu jentera Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Menurutnya, semua jentera muslimat seluruh kawasan telah menggerakkan ahli untuk memperkemaskan gerak kerja di semua peringkat.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua PAS Batu Sapi berkata, PAS kawasan menyambut baik kenyataan dan semangat yang ditunjukkan oleh Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan dalam kenyataan medianya Ahad lepas.

Dalam kenyataannya, Dr Aliakbar berkata, jentera PAS negeri kini sudah bersedia untuk menghadapi PRU15.

Menurutnya yang juga ADUN Sabah (Dilantik) berkata, PAS negeri telah menghantar senarai calon kepada PAS Pusat dan sudah diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak.

Mengulas lanjut, menurut Norsah, Batu Sapi telah memenuhi segala syarat yang diletakkan oleh PAS pusat untuk setiap PAS kawasan yang ingin bertanding.