Home Berita PAS Terengganu

Proses undi awal di Kem Padang Midin berjalan lancar

59
SHARE

KUALA TERENGGANU – Proses pengundian awal Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 membabitkan pegawai dan anggota Askar Wataniah Rejimen 512 AW serta pasangan mereka di Kem Padang Midin di sini berjalan lancar.

Pusat mengundi awal di kem itu dibuka pukul 8 pagi dan proses pengundian awal di situ dijangka berakhir sebelum pukul 5 petang berikutan hanya membabitkan seramai 53 pengundi daripada 176 jumlah asal.

Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman mendapati, suasana agak tenang memandangkan rata-rata anggota dan pasangan yang hadir tidak perlu menunggu lama untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Difahamkan, sebahagian besar anggota telah menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih menerusi undi pos sekali gus mengurangkan jumlah yang berdaftar sebagai pengundi awal.

Terdahulu, calon PAS Alur Limbat, Ariffin Deraman turut meninjau proses pengundian awal di sini sekitar jam 8 pagi tadi.

Beliau berharap semua anggota dan pasangan yang layak untuk mengundi awal dapat hadir menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

“Saya yakin mereka akan datang untuk mengundi. Memandangkan masih awal pagi dan hari ini hari bekerja, masih ada yang belum dapat keluar mengundi, InsyaAllah sebelum pusat pengundian ditutup mereka akan buat pemilihan yang terbaik,” ujarnya ketika ditemui pemberita di kem tersebut.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi bagi undi awal di Terengganu mencatat 59 peratus setakat 11 pagi ini manakala Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu mencatat 53 peratus.

Sebanyak 24 pusat mengundi awal dibuka di seluruh negeri ini dimana empat di Parlimen Besut, Setiu (tiga), Kuala Nerus (tiga), Marang (empat), Hulu Terengganu (dua), Dungun (tiga), Kemaman (empat) dan satu di Parlimen Kuala Terengganu.