Home Berita PAS Terengganu

Proses Pewartaan Pulau Bidong Sebagai Taman Negeri Terus Diperkemas

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Proses pewartaan Pulau Bidong sebagai sebahagian daripada Taman Negeri sedang diperkemaskan dengan penekanan terhadap pemeliharaan ekosistem dan warisan alam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara syarat utama pewartaan ialah larangan pembinaan struktur kekal di pulau berkenaan.

“Salah satu syarat utama bagi pewartaan ini adalah larangan pembinaan struktur kekal, bagi memastikan ekosistem dan warisan alamnya kekal terpelihara.

“Langkah ini mempunyai implikasi tertentu kepada pihak kerajaan serta pihak-pihak yang telah menjalankan pembangunan di kawasan tersebut.

“Oleh itu, kerajaan perlu melihat perkara ini dari sudut pandang yang seimbang antara kepentingan pemuliharaan alam sekitar dengan keperluan pembangunan sosioekonomi setempat.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan yang telah dikeluarkan melalui akaun Facebooknya, berikutan satu tinjauan yang telah dijalankan di pulau itu beberapa hari yang lalu.

Mengulas lebih lanjut, Wan Sukairi menjelaskan bahawa pendekatan sebegitu amat kritikal dalam pewartaan pulau bersejarah tersebut agar tidak menjejaskan mana-mana pihak.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan pewartaan Pulau Bidong dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan hak, kepentingan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat,” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan negeri secara rasmi membuat keputusan bersejarah untuk mewartakan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri.

Pewartaan kawasan seluas 231.3 hektar daratan dan perairan 1 batu nautika dari garis air surut pulau itu akan diuruskan oleh Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris pada 7 November, tahun lepas.