Home Berita PAS Terengganu

Proses pemulihan Abdul Hadi luar biasa

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Keadaan kesihatan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sedang menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) ketika ini menunjukkan perkembangan positif.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, doktor yang merawat beliau memaklumkan proses pemulihan agak luar biasa dan cepat.

“Saya pun dah melawat Tuan Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan saya amat teruja sebenarnya melihat prosedur yang dijalaninya berjalan dengan lancar dan proses ‘recovery’ sangat cepat dan insya-Allah beliau mampu untuk ‘come back’ dengan kerja beliau selepas ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tahap kesihatan Presiden PAS itu selepas Majlis Perasmian East Coast Energy 2025 yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan menjalani prosedur rawatan di IJN selepas dimasukkan ke pusat rawatan berkenaan beberapa hari lalu.

Ketika ditanya mengenai perkara berkenaan (rawatan di IJN) yang seolah-olah dirahsiakan sebelum ini beliau menafikan dan memaklumkan ia lebih kepada memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan Tuan Guru.

“Saya rasa dua atau tiga hari sebelum jalani prosedur, anak Tuan Guru, Dr. Muhammad Khalil ada membuat kenyataan memohon kita semua berdoa dan sebagainya.

“Jadi bukan rahsia, tapi berilah ruang untuk proses pemulihan beliau dengan lebih cepat sebab bila prosedur di hospital ini kalau ada tidak kena cara akan berlaku jangkitan dan sebagainya.

“Dengan keadaan usia Tuan Guru kita kena meminimakan segala kemungkinan-kemungkinan yang menganggu proses pemulihan,” jelas beliau.