Home Berita PAS Terengganu

‘Proses beli saham belum selesai’ – KMI nafi kendalikan Hospital Bersalin Razif

1070
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) bahagian penjagaan kesihatan di bawah TDM Berhad menjelaskan pihaknya masih tidak memiliki atau mengendalikan Hospital Bersalin Razif.

KMI Healthcare dalam satu kenyataan memaklumkan, walaupun Perjanjian Jual Beli Saham telah ditandatangani pada 23 Oktober tahun lepas, perjanjian tersebut masih belum dimuktamadkan kerana terdapat beberapa pemenuhan duluan syarat yang belum dipenuhi.

“Sehingga syarat-syarat ini dilaksanakan dan transaksi selesai, KMI Healthcare tidak mempunyai hak milik atau tanggungjawab terhadap Hospital Bersalin Razif.

“Oleh itu, KMI Healthcare tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang isu operasi atau lain-lain yang berkaitan dengan Hospital Bersalin Razif pada masa ini,” ujar kenyataan itu, hari ini.

Jelas kenyataan tersebut, syarikat kekal komited terhadap ketelusan dan pematuhan dalam semua urusannya dan akan memberikan makluman lanjut apabila diperlukan.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai isu jasad bayi yang didakwa ditahan di hospital berkenaan selama 16 hari di peti beku, dan ibunya juga tidak dibenarkan keluar wad sehingga bil hospital dibayar.