MARANG – Projek pembangunan tenaga solar membabitkan Kerajaan Terengganu, PETRONAS dan sebuah syarikat dari Arab Saudi, ACWA Power kini berada pada peringkat perbincangan terakhir sebelum dimuktamadkan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek mega itu adalah salah satu daripada inisiatif yang dibangunkan di Tasik Kenyir yang dilancarkan baru-baru ini.
“Sebenarnya ada dua projek berkaitan pembangunan tenaga solar di Tasik Kenyir. Projek ini juga berskala besar dan telah melalui perbincangan antara kerajaan negeri melalui anak syarikatnya bersama PETRONAS serta syarikat ACWA Power dari Arab Saudi.
“Projek ini sedang berjalan dan kini berada di fasa akhir bagi penentuan perincian teknikal,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik dan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) DUN Rhu Rendang, di sini, semalam.
Mengulas lanjut mengenai satu lagi projek yang dirasmikan Perdana Menteri sebelum ini, Ahmad Samsuri berkata kajian rintis telah pun dijalankan.
“‘Pilot study’ telah dibuat. Kalau pergi ke Tasik Kenyir, kita sudah dapat lihat panel solar berkapasiti kilowatt yang dipasang,” ujarnya.