Home Berita PAS Terengganu

Projek Tebatan Banjir, Pemuliharaan Sungai Bernilai RM141.27 Juta Siap

30
SHARE

DUNGUN – Kerajaan Negeri Terengganu pada hari ini menerima tiga projek siap membabitkan dua tebatan banjir serta satu pemuliharaan muara sungai bernilai RM141.27 juta

Pelaksanaan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu merangkumi projek Tebatan Banjir Gong Kiat, Kuala Terengganu bernilai RM5.8 juta yang siap pada Januari 2022, manakala projek Tebatan Banjir Guntung Luar, Setiu bernilai RM3.22 juta pula siap Mei 2022.

Sementara itu Projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka, Dungun yang menelan kos RM132.5 juta siap pada Mac lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Mohd Zawawi Ismail berkata, mewakili kerajaan negeri beliau berterima kasih kepada kementerian terlibat serta JPS negeri yang telah berjaya menyiapkan tiga projek berimpak tinggi terbabit.

“Alhamdulillah, dengan terlaksananya projek tebatan banjir di Kuala Terengganu dan Setiu, risiko kejadian banjir di kawasan yang itu dapat dikurangkan dan memberi keselesaan kepada penduduk setempat serta aktiviti mereka tidak lagi terjejas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Perseketuan Kepada Kerajaan Negeri Terengganu di Rumbia Resort Villa Paka, di sini, hari ini.

Terdahulu, mewakili Kerajaan Persekutuan, Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Mohd Zawawi telah menyaksikan majlis penyerahan tiga projek siap itu.

Mengulas lebih lanjut, Zawawi berkata dengan projek pemuliharaan Sungai Paka pula risiko kerosakan bot-bot nelayan akibat dari muara cetek serta pukulan ombak dapat dikurangkan.

“Selain daripada itu, penduduk di sekitar kawasan pantai berkenaan juga tidak lagi perlu risau dengan risiko hakisan pantai.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pihak terutama pihak kontraktor yang terlibat kerana telah berjaya menyiapkan projek-projek ini.

“Ucapan terima kasih juga kepada semua yang turut menyumbang dan bekerjasama secara langsung atau tidak langsung dalam pelaksanaan projek-projek ini.

“Semoga projek-projek yang diserahkan ini akan dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada penduduk sekitar dan saya yakin penduduk sekitar akan lebih selesa dan selamat berbanding dengan keadaan sebelum ini,” kata beliau.