Home Berita PAS Terengganu

Projek rumah Gong Cempedak berjalan selepas urusan tanah, bank selesai

295
SHARE

SETIU, 28 September – Projek perumahan Kampung Gong Cempedak fasa 3, Marang yang terbengkalai akan disambung semula pembinaannya setelah urusan tanah dan pinjaman bank diselesaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pemaju projek swasta terbabit, Grand East Coast Construction Sdn. Bhd. memberi komitmen sama untuk meneruskan projek itu dengan seberapa segera.

Katanya, terbaharu urusan geran tanah telah berjaya diselesaikan pada 8 Julai lalu dengan bantuan kerajaan negeri.

“Sebelum ini, perbincangan telah diadakan bersama pemaju bagi mengenalpasti masalah dan perancangan menyelesaikan projek ini, persetujuan sekali lagi dicapai bahawa mereka akan meneruskan projek selepas ini.

“Mereka memaklumkan, kekangan juga timbul sebelum ini kerana pelaksanaan PKP 3.0 pada Jun lalu, ia menghalang mereka untuk melakukan kerja pembinaan semua projek termasuk kemajuan perumahan lain sebagaimana komitmen awal iaitu selepas Aidilfitri.

“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri sekali lagi mengadakan perbincangan bersama pelbagai jabatan seperti Pejabat Tanah Marang, Majlis Daerah Marang bagi membantu dalam urusan geran tanah dan melancarkan pembangunan rumah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah, Projek Perumahan Taman Seri Buchu di Batu Rakit di sini, hari ini.

Menurut Dr Alias, bagi memastikan pembinaan fasa 3 melibatkan 212 unit yang terbengkalai tersebut berjalan segera, rundingan bersama pihak bank sedang diusahakan agar bayaran pinjaman meneruskan projek itu diperolehi.

“Masalah kewangan ini antara faktor perumahan tersebut tidak menepati tarikh siap pada 2019, dengan mengalami keuntungan kurang memberangsangkan hasil penyiapan fasa satu dan dua.

“Diharapkan dengan kelonggaran ekonomi dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini dapat memberi ruang untuk perbincangan antara pemaju dan pembeli, penyelesaiannya sudah ada namun perlu mengikuti peraturan sedia ada,” katanya lagi.

Terdahulu, antara penyelesaian awal kerajaan negeri pada Jun 2020 adalah melalui penghantaran aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT), namun tiada tindakan segera dijalankan.

Untuk rekod, projek Perumahan Gong Cempedak yang terbengkalai lebih 10 tahun lalu merupakan pembinaan yang dilupuskan kepada pihak swasta pada tahun 2006 dan ia adalah 100 peratus di bawah pengurusan sendiri serta tidak melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri serta campur tangan kerajaan negeri.