Home Berita PAS Terengganu

Projek Lada Hitam Memasuki Fasa Bina Kilang

128
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pembangunan projek lada hitam Mc Cormick di Lembah Bidong, Setiu telah memasuki fasa pembinaan kilang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, perluasan kawasan ladang juga sedang dibangunkan secara berfasa sehingga mencapai keseluruhan keluasan 600 hektar.

“Hampir 400 orang anak Terengganu sedang bekerja di sini, menjadi sebahagian dari kejayaan projek berskala mega ini.

“Ia suatu indikator bahawa anak Melayu Terengganu mempunyai kualiti yang mampu memenuhi standard kerja sebuah syarikat antarabangsa seperti Mc Cormick,” ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasminya.

Mengulas lanjut katanya, semasa perancangan projek sedang disusun, Kerajaan Negeri meletakkan syarat supaya pihak pelabur membina sebuah kilang pemprosesan sebagai sebahagian dari komponen projek.

“Dengan wujudnya kilang, jumlah peluang pekerjaan dapat ditingkatkan serta pemindahan teknologi akan berlaku.

“Adalah satu kerugian andai produk keluaran negeri kita hanya dieksport sebagai bahan mentah bagi diproses di tempat lain,” ujarnya.