KUALA NERUS – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Program R&R: Rehat dan Rawat @Masjid UMT sempena pendaftaran pelajar baharu sesi akademik 2025/2026.
Inisiatif itu menjadi ruang menyantuni pelajar dan keluarga yang hadir dari seluruh negara dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti sarapan pagi, makan tengah hari, minuman ringan, ruang rehat, ruang solat serta tandas yang selesa.
Suasana mesra jelas kelihatan apabila ramai ibu bapa singgah berehat dan menjamu selera selepas menempuh perjalanan jauh, malah rata-rata melahirkan rasa syukur atas layanan yang diberikan.
Ketua PISM, Dr Kasyfullah Abdul Kadir berkata, penganjuran program ini bertujuan menyambut kedatangan warga baharu UMT serta meringankan beban keluarga dengan menyediakan kemudahan asas.
“Masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga pusat kebajikan dan ukhuwah. Kami mahu pelajar dan ibu bapa merasai bahawa mereka diraikan dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Selain itu, PISM turut terlibat dalam Minggu Jalinan Mesra (MJM) pelajar baharu yang bermula sejak 28 September lalu dengan menyediakan ruang makan minum, ruang solat, serta Slot Bersama PISM yang dijadualkan berlangsung pada 2 Oktober ini.
PISM turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang menjayakan program berkenaan dan berharap inisiatif itu dapat diteruskan pada masa hadapan.