Home Berita PAS Terengganu

Program jualan Keluarga Malaysia catat jualan RM7.8 Juta

53
SHARE

HULU TERENGGANU – Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) berjaya merekodkan RM7.8 juta hasil jualan sejak dilancarkan bermula 2 Disember 2021 sehingga 9 Januari 2022.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Rosol Wahid berkata, program berkenaan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran 426,305 orang pengguna di 274 lokasi di seluruh negara.

Katanya, program tersebut sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dari kalangan berpendapatan rendah.

“Kita ambil contoh harga ayam dijual RM7.80, dan ini membuktikan janji kerajaan untuk menurunkan harga ayam di bawah RM8 berjaya kita laksanakan.

“Sementara itu, kita lihat orang ramai menyambut baik PJKM ini, kerana dapat meringankan beban kewangan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan banjir yang melanda negara baru-baru ini,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan di PJKM di perkarangan tempat letak kereta di Pusat Dagangan Ajil, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP negeri, Shaharudin Mohd Kia dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim.

Tambah beliau, harga jualan di PJKM lebih murah kerana diambil terus pada harga pemborong.

Dalam pada itu, Rosol juga berkata untuk memperluaskan PJKM di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri, perkara tersebut perlu diperhalusi dengan mengambil kira pelbagai faktor.

“Oleh itu, kita minta Ahli Parlimen berbincang dengan ADUN di kawasan masing-masing untuk memilih lokasi sesuai untuk menganjurkan PJKM selaras hasrat kerajaan membantu golongan sasar,” katanya.

Terdahulu, PJKM dilaksanakan dengan usaha pelbagai agensi kerajaan seperti KPDNHEP negeri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Turut serta ialah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan pemain industri peruncitan.