Home Berita PAS Terengganu

Program Candat Sotong Kini Bertaraf Antarabangsa

7
SHARE

KUALA TERENGGANU – Program Mencandat Sotong Terengganu kini melangkah ke pentas antarabangsa apabila berjaya menarik penyertaan wakil luar negara seperti dari Narathiwat (Thailand), Singapura dan Filipina.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, promosi dilaksanakan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mendapat sambutan amat memberangsangkan, termasuk daripada peserta antarabangsa yang akan menyertai program sepanjang musim dari April hingga Oktober.

“Lebih 3,000 bot yang dikhususkan bagi aktiviti mencandat sotong akan beroperasi di seluruh perairan Terengganu, dan dijangka menarik lebih 30,000 pelancong sepanjang musim ini.

“Ia berpotensi menjana pulangan ekonomi sekitar RM7.5 juta menerusi tempahan penginapan, pakej candat, serta limpahan ekonomi kepada komuniti tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Pelancaran Program Musim Candat Sotong yang diadakan di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat Enam, Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan.

Tambah beliau, karnival utama yang dinamakan ‘Pakat Maghi Candak Sutong’ akan berlangsung pada 8 hingga 11 Mei bertempat di Tempat Letak Kereta Menara Jam, Jeti Pelancongan Marang.

“Istimewanya kali ini, program ini bukan sahaja akan dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, malah turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud serta barisan EXCO Kerajaan Negeri Kelantan,” ujarnya.

Razali turut menyatakan keyakinan bahawa Program Candat Sotong bakal menjadi produk pelancongan ikonik negeri yang mampu menembusi pasaran serantau secara lebih meluas pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Razali berkata antara kelainan yang turut dilakukan bagi menggandakan kemeriahan program akan ada 14 karnival yang diadakan sepanjang program selain tiada pertandingan yang akan dianjurkan.

“Sebaliknya ditekankan elemen pelancaran musim dan keterlibatan pelbagai sektor seperti komuniti, pelancong, media dan agensi pelancongan.

“Turut serta dalam liputan ialah media perdana, media sosial serta pemengaruh dari dalam dan luar Terengganu termasuk dari Thailand yang akan membantu memperluaskan capaian program ini secara digital dan nasional,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, bagi mempergiatkan promosi dan sokongan daripada industri perhotelan, beberapa hotel utama di Kuala Terengganu akan turut memperkenalkan menu bertemakan sotong.