Home Berita PAS Terengganu

Program Bersih Pulau dilaksanakan berterusan

4
SHARE

MARANG – Program pembersihan semua pulau di Terengganu akan dilaksanakan secara berterusan setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pada tahun lepas program itu dijalankan di Pulau Redang, pada tahun ini pula di Pulau Kapas.

“Program tersebut bertujuan bagi memupuk kesedaran kepada masyarakat bahawa pentingnya persekitaran yang perlu dijaga dari segi kebersihan.

“Selain itu, rakyat boleh mengambil manfaat daripada laut dari pelbagai sudut antaranya, sumber makanan, pendapatan hasil dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Reef & Beach Clean up Taman Laut Pulau Kapas Bertempat di Taman Laut, Pulau Kapas di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dato’ Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof.

Tambah Dr Azman, negeri Terengganu mempunyai keistimewaan dan anugerah semula jadi yang dikurniaan oleh Allah SWT.

Antaranya, laut di negeri ini mempunyai keluasan yang paling besar di semenanjung Malaysia, pantai yang paling panjang serta mempunyai pulau paling banyak.

Mengulas lanjut mengenai program Reef & Beach Clean up Taman Laut Pulau Kapas, ianya telah berlangsung selama dua hari bermula 1 hingga 2 Oktober 2023.

“Selain dari bersih pantai, penyelam juga membersihkan kawasan batu karang dari pukat hantu dan pelbagai unsur asing yang merosakkan alam sekitar.

“Program tersebut berjalan lancar dan jumlah peserta melebihi 120 orang.

“Peserta tersebut terdiri daripada komuniti setempat, pengusaha-pengusaha resort, para pelajar dari Universiti Malaysia Terengganu serta beberapa lagi agensi dan NGO terlibat,” ujarnya.