Home Berita PAS Terengganu

Program ADUN Belia lahirkan generasi pemimpin

23
SHARE

KUALA TERENGGANU – Program Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu yang telah melalui beberapa siri persidangan dilihat mampu melahirkan belia yang proaktif bagi mempersiapkan mereka sebagai pemimpin negeri mahupun negara pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berdasarkan bakat yang agak menyerlah di kalangan ADUN Belia, beliau yakin mereka berpotensi untuk bergerak lebih ke hadapan.

“Sebahagian di kalangan mereka cukup kompeten untuk menjadi pelapis kita, jadi saya menaruh harapan dan keyakinan semua di kalangan mereka ini proaktif dimana pun posisi yang mereka ada.

“Jadi hasrat kami di peringkat kerajaan negeri, pelapis-pelapis ini akan memiliki satu pengalaman istimewa yang sukar untuk diperolehi di tempat lain.

“Paling tidak, kalau mereka berpeluang untuk menjadi kepimpinan pada masa akan datang, samada bergelar wakil rakyat, senator dan seumpamanya mereka sudah memiliki satu ‘confident level’ yang cukup baik untuk melibatkan diri didalam setiap perbahasan mana-mana peringkat dan mereka menjadi generasi yang kompeten sebagai seorang ahli dewan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Persidangan Kedua Penggal kedua, ADUN Belia Terengganu Siri II 2021-2023 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, persidangan ini juga memberikan pendedahan serta pengalaman kepada ADUN Belia terpilih mengenai bagaimana peranan badan legislatif.

“Selari dengan objektif mewujudkan ADUN Belia itu sendiri iaitu untuk melahirkan generasi pelapis dan melahirkan bakal pemimpin yang mahir dalam berhujah dan mengutarakan pandangan.

“Apa yang mereka bahaskan dan hujah di dalam dewan ini akan dibuat rumusan oleh pihak TSIS sebelum dipanjangkan kepada saya (Exco yang bertanggungjawab untuk persidangan ADUN Belia Terengganu), kemudian kita akan bawa kepada pihak yang berwajib dibawah kelolaan kerajaan negeri untuk tindakan sewajarnya,” ujar beliau.