Home Berita PAS Terengganu

Produk Tradisional Terengganu Gamit Senyuman Sultan Mizan

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli meluangkan masa sehingga satu jam setengah meneliti hasil buatan tangan tradisional yang dipamerkan dalam karnival sempena Sambutan Dua Dekad Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM), hari ini.

Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda iaitu Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Seri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja melawat semua reruai yang ada.

Antara pameran yang menjadi tumpuan Baginda tentunya produk tradisional seperti peralatan seni keris, batik, songket, ukiran kayu dan anyaman kercut.

Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Nara Setia, serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Mohd Fadzli Yusof pada jam 3.00 petang.

Sebaik tiba, Sultan Mizan bersama Sultanah dan paduka-paduka anakanda berkenan mencemar duli meluangkan masa kira-kira 15 minit bagi menyaksikan pameran bergerak gajah asia, salah satu aktiviti yang diwujudkan dalam karnival itu.

Pameran berkenaan adalah satu inisiatif YDSM bersama Kenyir Elephant Conservation Village (KECV) bagi menjelajah komuniti untuk menyemai kesedaran dan kasih sayang terhadap penjaga rimba negara itu.

Seterusnya, Tuanku berkenan melawat tarikan utama karnival yang menampilkan pameran produk usahawan-usahawan bimbingan YDSM.

Pada jam 4.45 petang, Tuanku berkenan menyempurnakan Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Dua Dekad YDSM yang dihadiri pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri. Sultan Mizan, Sultanah Nur Zahirah, Yang di-Pertuan Muda Terengganu bersama paduka-paduka anakanda berangkat pulang pada jam 5.30 petang.