Home Berita PAS Terengganu

PRN15: Kota Putera saksi pertembungan dua mantan penyandang

13
SHARE

BESUT – Penyandang kerusi Bahagian Pilihan Raya N02 Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dijangka berdepan tentangan sengit apabila lawannya dari Barisan Nasional (BN), Dato’ Muhammad Pehimi Yusof kembali bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

Pehimi pernah menyandang kerusi berkenaan selama sepenggal pada tahun 2008-2013, sebelum menduduki kerusi DUN Jertih selama dua penggal.

Dalam proses penamaan calon pagi ini, Nurkhuzaini tiba di sekitar Pusat Penamaan Calon (PPC) dan sempat menunaikan solat sunat hajat bersama penyokong PAS/ Perikatan Nasional (PN) pada jam 8.00 pagi.

Beliau berarak ke perkarangan PPC diiringi kira-kira 1,200 penyokong dan memasuki PPC pada jam 9.03 pagi.

Manakala, Pehimi tiba di kawasan PPC pada jam 8.30 pagi.

Beliau berarak bersama 1,000 penyokongnya dan memasuki PPC pada jam 9.03 pagi.

Nurkhuzaini selesai mengemukakan borang penamaan calon pada jam 9.05, manakala Pehimi selesai seminit kemudian sebelum pegawai pengurus bahagian Pilihan Raya N02 Kota Putera, Mohd Ridhuan Muhammad Nor mengisytiharkan waktu penerimaan kertas penamaan calon ditamatkan pada jam 10.00 pagi.

Mohd Ridhuan mengesahkan dan mengumumkan kedua-dua calon layak dan diterima bertanding sebelum kedua-dua calon beredar dari PPC sekitar jam 10.40 pagi.

Berdasarkan rekod, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memenangi DUN Kota Putera pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menewaskan calon BN ketika itu, Mohd Mahdi Musa dengan majoriti 1,181 dalam pertembungan tiga penjuru.