Oleh : Asikin Ahmad
29 Ogos 2020
KALABAKAN: Program pelancaran jentera dan dana pilihan raya PAS kawasan Kalabakan telah dilaksanakan semalam bertempat di pejabat PAS kawasan Kalabakan.
Perasmian pelancaran disempurnakan oleh YB Ahmad Marzuk Shaary, Ahli Parlimen Pangkalan Chepa.
Beliau juga yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam ucapan perasmian mengatakan bahawa PAS bersedia untuk merealisasikan kerusi sulung PAS di Sabah.
Justeru, beliau menyeru agar seluruh jentera PAS berusaha semaksima mungkin di samping tidak menggadaikan prinsip perjuangan yang dibawa.
“Saya amat yakin bahawa rakyat inginkan perubahan ke arah yang lebih baik dan mengharapkan pemimpin berwibawa yang boleh membawa suara dan hasrat rakyat”, katanya.
Pada majlis tersebut, Yang Dipertua PAS Kawasan Kalabakan, Haji Ahmad Dullah juga memberi suntikan semangat kepada seluruh jentera agar mengerahkan seluruh tenaga dan bersiap sedia bersama rakan dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional.
“Tugas kita ialah bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam pilihan raya kali ini,” ujarnya.