Home Berita PAS Terengganu

PRN MELAKA | Faktor ‘wow’ dari Melaka, siapa sangka?

85
SHARE

Percayakah anda jika saya mengatakan bahawa perubahan cara pemikiran orang Melaka, menunjukkan kepada satu corakan yang agak berlainan berbanding dengan PRU14 dan sebelumnya. Jangkaan lama saya ternyata meleset setelah turun sendiri di negeri yang penuh dengan seni dan bersejarah di nusantara ini. Rasanya amat rugi jika tidak dikongsi dengan anda.

Presiden PAS lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Hadi di sini, sekarang lebih dihormati oleh ramai pengundi-pengundi Melaka. Berbanding dahulu, nama PAS itu adalah satu fobia kepada mereka, namun ia tidak lagi sekarang. Apatah lagi setelah rakyat membuka mata mereka melihat bagaimana kesungguhan Ustaz Hadi bersama pimpinan politik negara lain, mahu membawa Malaysia ke arah penyatuan ummah.

Kebijaksanaan beliau berpolitik telah menghasilkan banyak faedah kepada bukan sahaja PAS sendiri, malahan kepada keseluruhan rakyat. Bagaimana dengan gerakan beliau bergabung dengan rakan-rakan politik yang lain, telah memecahkan monopoli pemerintahan satu parti. Ia membuka ruang kepada pimpinan lain untuk juga menonjolkan kehebatan menjaga kepentingan rakyat, melalui pemerintahan yang lebih berintegriti. Dan sekarang, pilihan rakyat bagi memilih pemimpin yang lebih baik, lebih terbuka kerana ada perbandingan dengan yang sebelumnya

Orang Melaka telah melihat hal ini dan saya percaya mereka memahaminya. Menurut Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga calon Dun Duyong, Datuk Kamarudin Sidek, kekuatan dua pengaruh besar dalam Perikatan Nasional (PN) diyakini akan membawa kepada penyatuan Melayu dan Islam, tanpa mengenepikan hak-hak bangsa lain yang jelas dijamin oleh perlembagaan.

“Apabila ada isu berkenaan penyertaan PAS dalam PN, hanya untuk PRN Melaka ini, sebenarnya kita masih ada hubungan dengan semua parti-parti Melayu, termasuk Umno. Dan bersama PN, ia lebih dilihat sebagai imej yang lebih bersih oleh orang-orang Melayu. Walau bagaimanapun, kita masih mengekalkan hubungan dalam Muafakat Nasional, diatas konsep perlu penyatuan ini diteruskan bagi memperkasakan Melaka. Dalam kempen, kita diarahkan untuk tidak menyerang antara satu sama lain. Kita lebih fokus kepada tawaran kepada rakyat Melaka,” kata Datuk Kamarudin.

Jelas dengan cara kempen bersih sebegitu, PAS begitu komited untuk menjaga hubungan ke hadapan, walaupun tidak bersama Umno, tetap memilih untuk tidak menyerang. Faktor Abah juga memberikan kekuatan kepada PN. Dan dengan dua gandingan ini, ‘mood’ rakyat dilihat berubah kerana kepenatan dengan perbalahan termasuk juga dengan skandal-skandal yang didedahkan dalam media sosial, memberikan kesan kepada pengundi terutamanya pengundi ‘atas pagar’. Itu belum dikira kebosanan kerana kekerapan menukar kerajaan. Ini bukan yang rakyat ingini.

Sungguh kita tidak menyangka yang gandingan kedua ini, dibenci di media sosial kerana berbagai fitnah lawan. Sedangkan bagi golongan yang benar-benar mahukan pernyatuan, dapat dilihat jelas kedua mereka adalah penggerak penyatuan ummah yang dicari oleh pengundi-pengundi. Tidak perlu kepada janji-janji yang menggunung, kemudian akhirnya, tersembam di peti undi, sebagaimana yang telah berlaku sebelum ini.

Dengan memegang integriti yang sangat tinggi, dapat dilihat oleh semua rakyat bukan sahaja Melaka, malah Malaysia keseluruhannya, negeri-negeri yang dikuasai PAS, jelas tidak pernah dituduh sebagai penyalahguna harta rakyat. Dan, rakyat Melaka amat bertuah kerana PAS yang dipuji kehebatan akhlak, tetap pendiriannya, tiada yang melompat, lurus dalam memerintah, sekarang ada bersama dengan PN, untuk menawarkan khidmat mereka sebagaimana di negeri-negeri PAS yang lain.

Mohd Nasir Abdullah
17 November 2021