Home Berita PAS Terengganu

PRK Kemaman 2 Disember depan- SPR

32
SHARE

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu P040, pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 18 November dan manakala pengundian awal PRK pada 28 November ini..

“Tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 18 November ini sehingga pukul 11.59 malam 1 Disember,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di sini bagi membincangkan tarikh penting berkaitan PRK Parlimen Kemaman.

Tambahnya, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang akan digunakan adalah di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 53 buah dengan 248 tempat mengundi/saluran,” katanya.

Selain itu, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) akan digunakan adalah yang terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan setakat Ogos lalu yang dikemas kini pada 3 Oktober lalu.

Ia mengandungi seramai 141,790 pemilih yang terdiri daripada 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan pasangan serta 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia selepas pihak pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 3 Okt lalu, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

Dalam PRU15 sebelum ini meyaksikan pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman yang mana Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh keseluruhan 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.

Sementara itu, dua calon lain iaitu dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rosli Ab Ghani mendapat 506 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi).