KUALA TERENGGANU – Petugas-petugas Perikatan Nasional (PN) Terengganu yang bertugas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kini giat menggandakan usaha menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan turun padang secara berterusan sejak dua minggu lalu.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, YB Hanafiah Mat berkata, mereka turun dengan kekuatan jitu, penuh pengharapan dan pengalaman kemenangan terdahulu yang diterjemahkan dalam bentuk kerja lapangan.
“Kemenangan ini kita sandarkan sepenuhnya kepada qada’ dan qadar Allah SWT.
“Tanpa menoleh ke belakang, petugas menyantuni masyarakat dengan adab dan hemah, berjabat tangan serta melaksanakan pelbagai bentuk kebajikan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, gerak kerja jentera tidak tertumpu kepada kempen politik semata-mata, bahkan merangkumi pendekatan mesra rakyat seperti menziarahi orang sakit, membantu keluarga yang berdepan kematian dan kelahiran bayi.
Tambahnya lagi, calon PN telah lama mendekati rakyat melalui surau, masjid, kelas fardu ain dan mengaji, kedai makan, serta di padang permainan bersama golongan muda dan warga emas.
“Ini adalah resipi harian hidup calon kita, bukan hanya semasa pilihan raya.
“Saya yakin, dengan pendekatan ini, calon PN akan memperoleh kemenangan dalam PRK Ayer Kuning kali ini,” katanya yakin.