Ahli dan penyokong Umno boleh memilih calon PN Abdul Muhaimin Malek bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap parti itu yang menjadi sebahagian kerajaan di pusat dan Perak.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS, Tan Sri Annuar Musa berkata, PN sebagai gabungan dua parti terbesar orang Melayu Islam boleh dijadikan pertimbangan untuk pengundi terutama ahli Umno memilih Perikatan Nasional (PN) pada PRK Ayer Kuning.
Dakwanya, wujud trend penghijrahan ahli Umno menyokong PN sejak PRU15 termasuk di DUN Ayer Kuning menyaksikan salah satu kubu kuat Barisan Nasional (BN) di pusat daerah mengundi (PDM) Changkat Petai dikuasainya.
“PAS kini jadi parti terbesar mewakili Melayu di Parlimen dan Perak, tidak jadi kesalahan untuk penyokong Umno menyokong PN (pada PRK Ayer Kuning).

“Ini peluang menyatakan pendirian dan kita yakin ramai mahu perubahan terutama dengan pelbagai isu seperti janji tidak ditunaikan, kenaikan kos sara hidup dan cukai,” kata bekas setiausaha agung Umno itu.
Annuar merujuk kedudukan PAS yang mempunyai 43 Ahli Parlimen manakala 18 Adun di Perak yang bertanding atas tiket PN pada PRU15.
PAS turut mengetuai pembangkang di DUN Perak menerusi Adun Gunung Semanggol Razman Zakaria.
Beliau bersyukur kerana ahli Umno ‘Wak Basarawi’ telah keluar Umno dan memilih PAS sebagai wadah perjuangan
“Alhamdulillah dengan kehendak Allah swt hari ini Wak Basarawi Cangkat Petai yang selama ini menyokong UMNO tapi kali ini akan bersama PAS, Malah hari ini beliau dengan sukarela mengisi borang keahlian PAS,” ujar beliau dalam media sosialnya.
Justeru, beliau menyeru semua ahli, penyokong dan petugas PAS terus berusaha dan sentiasa santuni rakyat, pada PRK Ayer Kuning dan masyarakat Malaysia umumnya.