Home Pedoman Haraki

Praktis Hisbah: Adil Vs Asabiyah

1450
SHARE

PRAKTIS HISBAH: ADIL VS ASABIYAH

Adil

Sistem kasta bercanggah dengan ajaran Islam. Budaya melindungi golongan pembesar dan aristokrat merupakan budaya puak jahiliah yang mesti ditolak.

Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan sebuah hadits,

أَنَّ قُرَيْشًا أَهَمَّهُمْ شَأْنُ المَرْأَةِ المَخْزُومِيَّةِ الَّتِي سَرَقَتْ ، فَقَالُوا : وَمَنْ يُكَلِّمُ فِيهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؟ فَقَالُوا : وَمَنْ يَجْتَرِئُ عَلَيْهِ إِلَّا أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ ، حِبُّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَلَّمَهُ أُسَامَةُ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( أَتَشْفَعُ فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ ؟! ) ، ثُمَّ قَامَ فَاخْتَطَبَ ، ثُمَّ قَالَ : ( إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ ، أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ ، وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا.

Suatu hari, kaum Quraisy merasa khuatir apabila berlaku kes kecurian yang dilakukan oleh bangsawan Bani Makhzum. Setelah berbincang, mereka bersetuju mengutus Usamah bin Zaid untuk merayu kepada Rasulullah SAW agar meringankan hukuman. Usamah dipilih sebagai wakil kerana beliau merupakan ahli keluarga angkat, kesayangan Nabi Muhammad SAW. Beliau cuba berunding agar diringankan hukuman si pencuri tersebut, wanita dari Bani Makhzum.

Tetapi Baginda membantah dengan tegas, sabda Nabi SAW, “Adakah engkau mahu meminta bantuanku dalam urusan hudud Allah?”

Baginda bangun lalu menyampaikan ucapan Baginda, “Sesungguhnya faktor kehancuran kaum sebelum kalian adalah kerana sikap selektif mereka. Apabila seorang yang berkedudukan dalam kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila yang mencuri merupakan orang biasa daripada kelas bawahan, tiba-tiba mereka menegakkan hudud Allah. Demi Allah! Sekiranya benar Fatimah binti Muhammad mencuri, tetap akan kupotong tangannya.”
(HR Bukhari & Muslim)

Membeza-bezakan hukuman terhadap pesalah bukan daripada ajaran Nabi Muhammad SAW. Orang biasa ditangkap dan dibelasah, manakala “vip” disorok dan diberi keistimewaan. Jika benar kita mengikuti ajaran Islam, pesalah tetap kita adili tanpa menghiraukan pengaruh kedudukan dan pangkatnya.

Asabiyah

Selain kasta, asabiyah juga merupakan salah satu bentuk selektif dalam menegakkan keadilan. Bertentangan dengan kebenaran Islam. Mempertahankan seseorang atas dasar fanatik kepuakan semata-mata. Asal satu parti, yang salah pun dipejam sebelah mata.

Betapa banyak hadits menceritakan tentang asabiyah, menunjukkan amaran Nabi SAW dan keprihatinan generasi sahabat r.a yang bertanya. Kerana taqwa, tidak mahu terjerumus ke dalam kancah jahiliah.

Hadits 1: Sayang Semata-mata Bukan Bererti Asabiyah, Asabiyah Itu Apabila Seseorang Mempertahankan Kejahatan Kumpulannya

يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ قَوْمَهُ؟ قَالَ : لَا، وَلَكِنْ مِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُعِينَ الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْمِ.

Wahai Rasulullah, adakah dianggap asabiyah apabila seseorang yang sayang kepada kaum bangsanya? Jawab Baginda SAW: ‘Tidak, tetapi asabiyah ialah apabila seseorang itu menolong kaumnya dalam perkara kezaliman.”
(Sunan Ibn Majah)

Hadits 2: Mati Ketika Mempertahankan Kebatilan Termasuk Dalam Mati Jahiliah

مَنْ قُتِلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَدْعُو عَصَبِيَّةً أَوْ يَنْصُرُ عَصَبِيَّةً فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ

“Barangsiapa terbunuh kerana membela bendera kefanatikan yang menyeru kepada asabiyah atau mendukung asabiyah, maka matinya seperti mati Jahiliyah.”
(HR Muslim)

 Hadits 3: Nabi Tidak Mengaku Umat, Mereka Yang Bersikap Asabiyah

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ

“Bukan termasuk golongan kami orang yang mengajak kepada asabiyah, bukan termasuk golongan kami orang yang berperang kerana asabiyah, dan bukan termasuk golongan kami orang yang mati kerana asabiyah.”
(HR Abu Dawud)

Ringkasnya, amalan membela kesalahan puak sendiri merupakan ajaran jahiliah yang ditegah Nabi SAW. Sekiranya kita berdegil untuk tetap mempertahankan kesalahan atas nama “setiakawan atau satu parti”, bersiap sedialah dengan ancaman yang disebutkan tadi.

Sudahlah mati di dalam jahiliah, Nabi pula tidak mengaku umat.

Hisbah

Sistem Hisbah merupakan ciri istimewa yang ada pada sistem pentadbiran Islam. Khilafah, Daulah, Jamaah atau sekecil apapun organisasi Islam tersebut, mesti diwujudkan Sistem Hisbah. Ianya merupakan kewajipan pentadbiran Islam. Keunikan ini yang membezakan sesebuah organisasi Islam dengan organisasi yang lain. Tidak seperti Sistem Teokrasi, Autokrasi mahupun Aristokrasi yang bersifat kuasa mutlak, kuku besi dan veto.

Nabi SAW menegaskan bahwa, kewajipan amar makruf dan nahi mungkar ini perlu dipikul semua lapisan masyarakat. Pemerintah dan rakyat, pemimpin dan pengikut, guru dan anak murid.

Hisbah dilaksanakan pada zaman Nabi SAW, diteruskan Khalifah Abu Bakr r.a dan ditingkatkan pelaksanaannya oleh Amirul Mukminin Umar Al-Khattab.

Berikut merupakan contoh yang menjadi praktis ketika era keemasan Saidina Umar r.a.

Hisbah & Pantauan Pemerintah Terhadap Wakil Khalifah/Sultan/Presiden

Saidina Umar bukan sahaja melantik wakil terbaik dan berkelayakan, beliau malah melaksanakan hisbah terhadap para gabenor beliau.

Kata Saidina Umar, “Lebih baik aku memecat setiap hari daripada aku membiarkan seorang yang zalim satu masa yang singkat.”

Hisbah Terhadap Khalifah Sendiri

Seorang pengadu melaporkan kesilapan Saidina Ali bin Abi Talib terhadapnya, lalu Saidina Umar bertindak menjadi hakim. Umar berkata kepada Ali, “Wahai Abu Al-Hasan, samakan kedudukan dengan lawanmu!” Tiba-tiba Ali menunjukkan wajah marah terhadap Umar.

Setelah selesai memberi keputusan dan sama-sama berada di majlis yang lain, Umar bertanya kepada Ali, “Kenapa tadi nampak marah? Adakah kerana aku menyamakan kedudukanmu dengannya?”

Ali menjawab, “Tidak! Tetapi aku marah kerana engkau memanggilku dengan Abu Al-Hasan (panggilan sanjungan), sedangkan engkau tidak memanggil namanya seperti memanggilku.”

Khalifah Umar terus mencium kepala Ali dan berkata, “Allah tidak menyelamatkan aku di dunia ini kalay tidak ada Abu Al-Hasan.”

Amru bin Al-Aas Dimarahi

Suatu ketika, Abdul Rahman bin Umar Al-Khattab dan rakannya tersilap meminum arak. Tidak diketahui minuman itu merupakan arak. Walaupun demikian Abdul Rahman meminta supaya Amru Al-Aas menjatuhkan hudud terhadap dirinya dengan sebatan dan dicukur kepala kerana merasa bersalah. Amru melaksanakan hukuman itu di rumah, bukan di khalayak ramai.

Apabila berita ini sampai kepada Khalifah, Umar menjadi marah kepada Amru kerana cara hukuman disembunyikan daripada khalayak. Tidak sepatutnya hukuman dilakukan secara tersembunyi semata-mata disebabkan Abdul Rahman itu anak Khalifah.

Pegawai Ansar Dipecat

Seorang sahabat dalam kalangan Ansar ditugaskan ke Hirah bagi membantu Amar bin Hayyan. Apabila beliau tiba, Amar menjemput beliau makan. Tiba-tiba beliau mempersendakan Amar dan menyapu janggut Amar secara bergurau.

Amar bin Hayyan mengadap Khalifah Umar dan mengadu telatah pegawainya. “Wahai Amirul Mukminin, saya pernah bertugas di bawah Raja Parsi dan Rom, tetapi saya tidak pernah dilayan seperti yang berlaku di masa pemerintahan Tuan.”

Setelah Umar menyelidik apa yang berlaku, beliau memanggil sahabat Ansar tersebut dan berkata, “Hei, engkau diajak makan dan minum bersama, engkau tidak layan jemputannya. Kemudian kau persendakan dia. Kau sapu janggutnya. Kalau bukan kerana menyimpan janggut ini sunnah, nescaya aku cabut janggutmu! Berambus pergi, aku tidak lagi melantik engkau bertugas.”

Pesanan Kepada Mereka Yang Meninggalkan Hisbah

Abu Sa’id menceritakan suatu hari Nabi SAW bersabda,

لَا يَحْقِر أَحَدُكُمْ نَفْسَهُ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَيْفَ يَحْقِرُ أَحَدُنَا نَفْسَهُ؟. قَالَ: “يَرَى أَمْرًا لِلَّهِ فِيهِ مَقَال، ثُمَّ لَا يَقُولُ فِيهِ. فَيَقُولُ اللَّهُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: مَا مَنَعَكَ أَنْ تَقُولَ فِيَّ كَذَا وَكَذَا وَكَذَا؟ فَيَقُولُ: خَشْيَةَ النَّاسِ، فَيَقُولُ: فَإِيَّايَ كُنْتُ أَحَقَّ أَنْ تَخْشَى”.

“Janganlah seseorang di antara kalian menghina dirinya sendiri.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana seseorang di antara kami menghina dirinya sendiri?” Rasulullah SAw menjawab, “Apabila dia melihat suatu urusan menyangkut Allah yang harus diluruskannya, kemudian dia tidak mahu mengatakannya. Maka kelak di hari kiamat Allah akan berfirman kepadanya, ‘Apakah yang menghalang-halangi kamu untuk mengatakan hal yang benar mengenai Aku dalam masalah sekian, sekian, dan sekian?’ Maka dia menjawab, ‘Takut kepada manusia (orang lain).’ Maka Allah berfirman, ‘Sebenarnya Akulah yang harus engkau takuti.”
(Sunan Ibn Majah)

Asabiyah mengakibatkan kehinaan kepada pelakunya. Perjuangannya adalah perjuangan jahiliah. Jika ditakdirkan mati ketika mempertahankan kesalahan kaum sendiri seolah-olah mati jahiliah. Nabi SAW tidak mengakui sebagai umat.

Di hari akhirat, Allah akan bertanya mengapa kalian berani menyembunyikan kebenaran dan membelakangi Allah. Jawablah kalian kepada Allah. Sesungguhnya tanggungjawab kami hanyalah menyampaikan. Kami berlepas diri daripada kalian.

Sofia Alwani Ali
8 Mac 2018.