Home Berita PAS Terengganu

Portal Jodoh Darul Iman tangani trend lewat kahwin

21
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif dalam menangani trend peningkatan golongan muda lewat mendirikan rumah tangga dengan melancarkan Portal Jodoh Darul Iman (PJDI) sebagai platform pencarian pasangan hidup yang selamat dan mematuhi syariah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata portal berkenaan bukan sahaja membantu mempercepatkan proses mencari jodoh dalam kalangan pemuda, pemudi dan ibu bapa tunggal.

Malah katanya, ia menyediakan bimbingan dan panduan agar proses taaruf berjalan lancar menuju ke gerbang perkahwinan yang sah.

“Mungkin sesetengah pihak beranggapan atau melihat aspek mencari jodoh, mendirikan rumah tangga dan kelahiran, menambah kelahiran di dalam keluarga mereka ini adalah aspek yang sangat kecil.

“Aspek yang sangat personal, sangat peribadi tetapi sebenarnya ia berkait dengan pelbagai perkara yang berlaku dalam sesebuah negeri dan sesebuah negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Portal Cari Jodoh Darul Iman, di Damai Lounge Tingkat U2, Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, usaha ini penting kerana isu perkahwinan dan kelahiran bukan sekadar urusan peribadi, tetapi mempunyai kaitan langsung dengan struktur demografi, kelangsungan populasi, kestabilan sosial dan ekonomi negeri.

“Jika trend lambat kahwin dan tidak mahu mempunyai anak berlarutan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, negara akan berdepan kesan besar termasuk kekurangan tenaga kerja dan ketiadaan pewaris dalam keluarga,” ujarnya,

Menyentuh isu kependudukan global, beliau turut merujuk kepada kesan dasar ‘One Child Policy’ di China yang mengakibatkan jurang generasi dan beban penjagaan ibu bapa jatuh ke atas seorang anak sahaja, sehingga memaksa kerajaan negara itu menukar dasar berkenaan selepas beberapa dekad.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyuarakan kebimbangan terhadap trend golongan muda di Malaysia, termasuk Melayu dan Cina, yang semakin memilih untuk lewat berkahwin atau enggan memiliki anak atas pelbagai alasan.

“Melalui Portal Jodoh Darul Iman, kita berharap dapat membantu rakyat negeri ini mencari pasangan hidup dengan cara selamat dan berlandaskan syariah, sekali gus meningkatkan kadar perkahwinan dan kelahiran di Terengganu demi kelangsungan generasi akan datang,” katanya.

Jelasnya lagi, portal berkenaan boleh diakses oleh semua warga Terengganu yang layak, dengan syarat-syarat dan panduan terperinci telah disediakan kerajaan negeri.

“Portal ini juga menyediakan ruang bimbingan, panduan dan sokongan kepada pasangan yang sedang bertaaruf agar proses ke arah perkahwinan yang sah berjalan dengan baik serta patuh syariat.

“Sistem ini juga membuka ruang kepada ibu dan bapa tunggal yang berminat untuk mencari jodoh,” tambah beliau.