KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri disaran mempopularkan pelancongan mesra syariah dengan mempelbagaikan pengisian lebih islamik dalam usaha membantu meningkatkan ketakwaan umat Islam khususnya sepanjang Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, setiap penganjuran program pelancongan seharusnya lebih berhati-hati agar tidak mencemari kemuliaan bulan mulia dengan isu kontroversi seperti yang berlaku baru-baru ini.
“Sepatutnya bulan Ramadan ini, kita kerah rakyat agar memenuhi masjid-masjid di seluruh negeri untuk qiamullail, membaca Al-Quran, namun apa yang berlaku pada akhir Ramadan, hanya tinggal satu saf sahaja.
“Kita jangan tumpu di masjid sekitar Kuala Terengganu sahaja (Madinah Ramadan) tetapi perlu tengok juga masjid di Setiu, Besut dan daerah lain bagaimana sambutan pada akhir Ramadan…yang jauh ketinggalan berbanding di negeri lain.
“Terengganu perlu memuliakan Ramadan dengan memperbanyakkan program al-Quran seperti mana yang dilakukan Nabi Muhammad S.A.W, bukan program yang melalaikan kerana pelancong tetap akan datang ke Terengganu sekiranya kita lakukan pelancongan yang patuh syariat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Udangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Sebelum ini, tular beberapa video tarian ketika penganjuran program Pelita Raya pada Ramadan lalu yang berlangsung di perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus.
Tambahnya, rakyat Terengganu telah memberi kemenangan kepada PAS hingga 40-0 sebagai tanda manifestasi mereka yang mahukan negeri ditadbir mengikut syiar Islam.
“Jadi, hati-hatilah dengan aktiviti pelancongan yang ingin dibuat pada Ramadan dan pastikan ia patuh syariah dan sesuai dengan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.
“Kita mahu setiap hasil wang yang masuk ke Terengganu adalah dari sumber yang berkat dan ini boleh dicapai dengan penganjuran program-program pelancongan patuh syariah,” ujarnya.