Home Berita PAS Terengganu

POPT bantu kumpulkan OKU pekak, bisu terima suntikan berkumpulan

204
SHARE

Oleh: Noraini Jusoh @trdi.my

KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) mengambil inisiatif menjadi pemudahcara untuk mengumpulkan orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara berkumpulan.

Presiden POPT, Tengku Arman Harris Tengku Ismail berkata, menyedari golongan ini sukar untuk mendapatkan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disebabkan beberapa kekangan, langkah tersebut membantu memudahkan pihak Kementerian Kesihatan memberikan suntikan kepada OKU pekak dan bisu seperti orang lain.

“Antara masalah yang dihadapi adalah dari segi komunikasi, jadi apabila pergi secara berkumpulan lebih mudah kerana juru bahasa isyarat turut ikut serta.

“Ini berbeza apabila mereka pergi secara bersendirian kerana akan timbul masalah komunikasi dan sebagainya.

“Malah, kita juga membantu mendaftarkan mereka melalui aplikasi Mysejahtera,” ujarnya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas selesai menerima suntikan vaksin jenis Sinovac bagi mencegah wabak COVID-19.

Beliau dan 30 ahli POPT berjaya melengkapkan suntikan dos kedua di PPV, Pusat Sains Dan Kreativiti, hari ini.

Menyusul selepas ini katanya, seramai 35 OKU pekak dan bisu akan menerima suntikan pada 1 Julai ini.

Jelasnya, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan OKU yang berdaftar dengan POPT khususnya mendapat suntikan vaksin.

“Setakat ini, seramai 658 orang berdaftar dengan kita, dan saya akan terus berusaha memastikan ahli yang layak menerima suntikan akan berbuat demikian demi keselamatan mereka,” ujarnya.