Home Berita PAS Terengganu

‘Politik Solusi’ Jadi Pendekatan Terbaik Demi Kesejahteraan Rakyat

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pendekatan politik masa kini harus berteraskan Politik Solusi dan bukan retorik semata-mata yang sewajarnya dijadikan pendekatan selaras dengan aspirasi rakyat yang mahukan kehidupan lebih tenang dan tenteram.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, dalam konteks politik semasa, pemimpin berperanan bukan sahaja menegur tetapi turut menawarkan penyelesaian yang konstruktif serta seimbang.

“Bukan pembangkang tidak agresif, tetapi dalam keadaan sekarang kita mempunyai dua peranan – satu kaki sebagai pembangkang dan satu kaki lagi sebagai kerajaan. Maka setiap teguran kepada Kerajaan Persekutuan mesti disusuli cadangan penyelesaian daripada Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Oleh itu, dalam satu hantaran pada media sosialnya, beliau ymemberi contoh isu beras tempatan yang masih belum menemui jalan penyelesaian tuntas dan persoalan menjadi tumpuan rakyat.

Katanya, beliau menegur dasar Persekutuan yang menurutnya perlu disokong dengan usaha Kerajaan Negeri seperti menaik taraf infrastruktur pengairan, jalan pertanian, pembinaan empangan, penyelenggaraan pintu air serta peningkatan kesuburan tanah bagi memperkukuh pengeluaran hasil padi.

Begitu juga isu lesen nelayan, tambah beliau, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif memperkayakan sumber perikanan bagi mengimbangi keperluan lesen dengan hasil tangkapan yang mencukupi.

“Bila kita sedar nelayan Terengganu terpaksa mendaratkan hasil di negeri lain akibat kekangan infrastruktur jeti dan pelabuhan, kita bertindak. Usaha sedang dijalankan untuk menaik taraf jeti di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) selain pembinaan jeti baharu oleh Kerajaan Negeri,” jelas beliau yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu.

Dalam aspek jalan pertanian yang rosak, Dr Azman berkata, bajet dari Kumpulan Wang Amanah Jalan di bawah Kerajaan Persekutuan dimohon, manakala bajet negeri turut diperuntukkan demi kesejahteraan petani dan pengusaha pertanian.

“Politik hari ini memerlukan pemimpin berjiwa besar yang mampu membawa ketenangan kepada rakyat, bukan hanya menyuarakan gema yang kuat tanpa penyelesaian. Rakyat dambakan kestabilan dan ini hanya dapat dicapai menerusi politik solusi,” katanya lagi.