Permainan politik murahan dan simplistik mengaitkan KDNK, kemunduran dan kemajuan negeri-negeri semata-mata kerana kelemahan atau kehebatan parti politik tertentu sebenarnya memberi kesan negatif kepada kesatuan persekutuan Malaysia yang telah dibina oleh pemimpin-pemimpin negara sewaktu kemerdekaan dahulu.
Sewaktu pembentukan sebuah persekutuan Tanah Melayu atau kemudiannya Malaysia, secara kasarnya semua negeri menyerah kuasa dan hasil sekitar 80 peratus kepada Kerajaan Persekutuan untuk diuruskan, manakala yang kekal di negeri hanyalah sekitar 20 peratus.
Sebagai timbal balik, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab membangunkan negeri-negeri ini dengan ADIL dalam pelbagai sektor seperti infrastruktur, pelaburan, pendidikan, kesihatan, keselamatan, pengangkutan dan lain-lain.
Maksudnya, jika berlaku jurang yang besar dari segi kemajuan dan kemunduran negeri-negeri (anak) dibawah sebuah persekutuan (keluarga), ia petanda kelemahan pengagihan kekayaan dan pembangunan dibawah Kerajaan Pusat (bapa) yang ditangannya kuasa dan hasil yang diperah daripada ‘anak-anak’ nya.
Malah, ahli-ahli akademik bidang federalisma mendapati sistem persekutuan Malaysia ini antara sistem yang paling berpusat di dunia dalam kuasa dan hasil berbanding negara-negara berkonsep federalisma yang lain. Contohnya Australia, negeri-negeri di dalamnya boleh mengutip hasil melalui cukai jalan, dan di Canada pula cukai korporat turut dikutip oleh negeri-negeri.
Namun, di Malaysia, negeri-negeri hanya dibenarkan mengutip hasil cukai yang rendah dan terhad kepada tanah, sumber alam dan kerajaan tempatan sahaja.
Jadi, tidak mengejutkan, secara purata, perbelanjaan SEMUA negeri sebenarnya lebih tinggi dari hasil cukai sendiri. Lalu, semua perlukan kepada dana bantuan Pusat untuk kelangsungan termasuklah negeri-negeri kaya yang dibangunkan sejak zaman penjajah seperti Selangor dan Pulau Pinang. Tinggal lagi, mahu dipolitikkan ataupun tidak sahaja.
Sistem Persekutuan Malaysia sekarang ini yang terlalu berpusat kutipan hasil dan kuasanya juga terdedah kepada kelemahan yang boleh meruntuhkan kesatuan itu sendiri. Antaranya pengagihan peruntukan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berdasarkan merit serta dijadikan alat penderaan politik.
Malah, data-data menunjukkan negeri-negeri kaya dan tinggi KDNK terus menerima peruntukan terbesar, manakala negeri-negeri miskin sebaliknya sehingga melebarkan jurang perbezaan.
Negeri-negeri yang kaya sejak zaman penjajah hasil pembinaan infrastruktur pelaburan seperti pelabuhan antarabangsa di Selangor dan Pulau Pinang terus mendapat manfaat terbanyak daripada agihan persekutuan ini. Malah apabila digabungkan dengan faktor bias politik dalam agihan, jurang pembangunan semakin buruk.
Antara solusinya adalah melaksanakan reformasi fiskal yang lebih bersifat penyamaan horizontal (horizontal equalization) dengan Kerajaan Persekutuan menurunkan lebih banyak kuasa kutipan hasil kepada negeri-negeri.
Pada masa yang sama meningkatkan proses audit dan integriti agar perbelanjaan yang diuruskan negeri lebih cekap dan sampai secara maksimum kepada rakyat. Ini bertepatan dengan falsafah sains politik iaitu ‘the best government is the closest to its people.’ Kerajaan negeri berserta jentera-jenteranya lebih rapat dan mengetahui permasalahan rakyat masing-masing.
Sebarang kelemahan yang terbuka kepada pencabulan dan penyalahgunaan politik seperti yang berlaku kepada perjanjian royalti minyak Terengganu juga perlu diperbaiki secara perundangan untuk mengembalikan kepercayaan bahawa sistem persekutuan Malaysia ini masih bermaruah dan tidak lagi menjadi permainan politikus-politikus usang.
Jika tidak, sebarang parti politik yang berjaya menguasai Kerajaan Persekutuan akan berterusan menyalahguna dan menjadikannya sebagai alat politik dendam.
Jika berterusan dijadikan alat politik murahan negeri mundur vs negeri kaya berpunca daripada ketidakcekapan atau kepandaian parti politik semata-mata, sedangkan tanggungjawab utama bermula di Persekutuan ditambah pula negeri-negeri itu maju sejak zaman penjajahan British dan wujud kelemahan struktural sistem persekutuan, ia berisiko memberi kesan negatif kepada falsafah pembentukan persekutuan Malaysia yang kita cintai ini.
Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob,
Ketua Pegawai Eksekutif TSIS.
(Rujukan bahan slides: Prof. Madya Dr. Tricia Yeoh, University of Nottingham Malaysia dan Dr. Judhiana Abdul Ghani, pakar fiskal federalisma, Universiti Putra Malaysia)