Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Oleh : Hanafi Zulkapli
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
POLITIK PASCA PRU-14 : PENYATUAN AGENDA UTAMA
Perkembangan politik melalui saat murung buat seluruh rakyat Malaysia apabila 22 bulan PH yang mendapat majoriti 122 dan didominasi oleh DAP berada dalam tapuk kepimpinan negara.
Namun kesedaran politik penyatuan untuk melihat kepentingan Islam dan rakyat perlu diutamakan membawa kepada usaha penyatuan ummah.
Kepimpinan berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa naratif penyatuan ummah demi kepentingan Islam dan rakyat sehingga membawa kepada tindakan pimpinan BERSATU meninggalkan gabungan PH apabila melihat satu persatu kepentingan Islam dan rakyat mula diabaikan serta usaha merobek kedaulatan negara mula diusahakan.
Penyatuan ummah yang ditegaskan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang adalah dengan menyatukan semua umat Islam dan mengajak kaum non muslim yang tidak ekstrim akhirnya membuahkan hasil.
Bermula dengan penyatuan ummah antara PAS dan UMNO dan disusuli dengan penerimaan parti-parti lain yang bersetuju bersama memberikan sokongan mmebentuk kerajaan baharu bagi menamatkan kemelut negara selepas peletakan jawatan Tun Mahathir selaku PM ke-7.
Kabinet Malaysia 2020 telah berjaya dibentuk pada 10 Mac 2020, selepas Tan Sri Hj Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 pada 1 Mac 2020 lalu. Pentadbiran semasa kabinet ini juga dikenali sebagai Kerajaan Perikatan Nasional yang menggabungkan 15 buah parti politik daripada parti komponen Perikatan Nasional, parti komponen Barisan Nasional, parti komponen Gabungan Parti Sarawak dan Parti Bersatu Sabah termasuk seorang Ahli Parlimen Bebas.
Disini kita dapat melihat, Penyatuan Politik melibatkan parti politik yang memperjuangkan Islam dan rakyat membuahkan hasil untuk menyekat kemaraan dan kebobrokan PH yang berada dalam tampuk kepimpinan negara.
Gabungan yang dinamakan Kerajaan Perikatan Nasional ini walaupun diberi kesempatan selama 17 bulan diuji dengan mengurus krisis politik dan kesihatan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara. Ia merupakan saat yang cukup mencabar.
Perdana Menteri bersama barisan kabinet berjaya menunjukkan komitmen secara kolektif dalam menangani setiap krisis yang berlaku.
Namun, dengan pendirian 15 ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada Perdana Menteri sekali lagi mengheret negara pasca PRU-14 kepada krisis politik.
Saat ini merupakan satu saat yang cukup menguji tahap kesabaran rakyat dan juga memperlihatkan kebijaksanaan kepimpinan politik dalam PN dan BN serta Gabungan Parti Rakyat Sabah & Sarawak untuk memastikan negara tidak sesekali diambil tampuk kepimpinannya oleh PH.
Anwar Ibrahim sekali lagi tidak berjaya menunjukkan jumlah sokongan majoriti yang didakwanya sebelum ini “ I have Numbers”. Saya boleh katakan ia adalah penipuan buat sekalian kalinya dari seorang yang bernama Anwar kepada penyokong serta rakyat dalam negara.
Perlantikan Dato Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Naib Presiden UMNO mendapat sokongan 114 ahli parlimen yang mana sokongan sebulat suara dari Parti Gabungan PN, BN, Gabungan Parti Rakyat Sabah & Sarawak serta Ahli Parlimen Bebas.
Pada peringkat awal Tan Sri Hj Muhyiddin Yassin mendapat Majoriti 114 undi untuk melayakkan beliau dilantik sebagai PM ke-8 dan dengan jumlah undi yang sama, 114 sokongan ahli parlimen dalam Perikatan Nasional (PN) dan parti yang pro PN juga tetap menyokong Dato Sri Ismail Sabri bin Yaakob untuk dicalonkan sebagai PM yang ke-9 kepada YDP Agong.
Ini menunjukkan bahawa jika semua pimpinan parti politik memberi fokus kepada penyatuan ia akan berjaya menyekat kemaraan PH dan sekutunya untuk berada ditampuk kepimpinan negara, saya cukup yakin dan terus konsisten dengan usaha ini kerana ia mampu memberi satu impak yang besar dalam PRU ke-15.
Memimpin Negara,
Pemuda Bangkit Demi Islam.
22 Ogos 2021 | 13 Muharram 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor