Home Berita PAS Terengganu

Politik Moral Dan PAS; Pandangan Zaid Dialu-alukan

6
SHARE

PAS menyambut baik pemerhatian saksama dan komentar terus terang bekas menteri undang-undang Dato Zaid Ibrahim berkenaan perkembangan politik negara, khasnya tentang PAS, seperti yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini beberapa hari lepas.

PAS juga mengucapkan terima kasih kepada beliau atas pandangan jujurnya tentang kekuatan dan kelemahan parti serta langkah-langkah yang wajar diambil bagi mengatasi kekurangan yang ada sebagai syarat penting kepada keberhasilan usaha dan cita-cita PAS untuk memimpin negara.

Paling menarik ialah pandangan beliau mengenai gabungan prinsip moral dengan
tadbir urus baik dan pendekatan inklusif sebagai landasan penting bagi membawa
negara ke tahap lebih tinggi.

Bagi PAS sebagai parti berteraskan Islam, agenda moral, nilai unggul dan akhlak akan kekal sebagai tonggak utama dasar, tindakan, wawasan serta standard yang memandu perjalanan parti serta kehidupan bermasyarakat dan bernegara bagi membuahkan persekitaran yang baik untuk semua pihak dan kalangan.

Komitmen pada moral dan akhlak dalam kehidupan, baik peribadi atau awam, bagaimanapun tidaklah eksklusif kepada PAS atau Islam. Sebaliknya ia mendapat perhatian banyak pemikir dan penulis besar sejak zaman berzaman dan terus menjadi topik penting hingga ke hari ini, terutama sekali apabila berlakunya kerosakan besar yang menggugat kecekapan fungsi institusi politik serta kepercayaan orang awam terhadapnya.

Dalam tradisi keilmuan Barat, isu ini mendapat perhatian tokoh-tokoh seperti Plato, Aristotle, St Augustine, Hobbes, Locke dan Kant yang membahaskan peranan serta kepentingan moral dalam politik dan kerajaan bagi memastikan ia membawa manfaat kepada manusia terbanyak, sekali gus menghalang penyalahgunaannya.

Penggubalan 7 Prinsip Nolan oleh Jawatankuasa Standard Kehidupan Awam
(Committee on Standards in Public Life) di United Kingdom (UK) bawah kepimpinan John Major pada 1995 misalnya juga bertujuan menjadi panduan moral dan etika pegawai awam berikutan skandal “wang untuk soalan” (cash for questions) melibatkan beberapa orang Ahli Parlimen negara itu.

Ini memberi gambaran tentang kepentingan dan keutamaan moral dan etika sebagai
teras kehidupan awam, termasuk politik dan kerajaan. Nilai dan kepercayaan awam
adalah tonggak kepada kepimpinan politik yang beretika, sementara kepercayaan
awam itu sendiri merupakan unsur penting kepada keberkesanan sesebuah kerajaan
demokratik.

Ia adalah justifikasi kepada ketegasan PAS dalam hal ini yang turut diakui oleh Zaid dari sudut kebersihan pimpinan PAS daripada rasuah dan amalan korup. Ini berlawanan dengan kerajaan semasa yang bukan sahaja dilihat gagal menunaikan janji-janji yang dibuat sebelum ini, tetapi turut terpalit dengan dakwaan kronisme, penyalahgunaan kuasa, sekatan kebebasan bersuara dan sebagainya yang menghakis kepercayaan bukan sahaja orang awam, tetapi juga penyokong tegarnya.

Dalam pada itu, PAS juga komited kepada kedaulatan undang-undang, ketelusan,
akauntabiliti, keterbukaan, integriti, kejujuran, keadilan serta kepimpinan berhemah dalam menjalankan peranannya sebagai parti politik dan juga kerajaan demi memajukan kepentingan awam, sekali gus mempertahankan kepercayaan orang ramai terhadap institusi, sistem dan proses pemerintahan negara.

Terima kasih.

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 22 Jun 2025.