KEMAMAN – Kerajaan Negeri Terengganu memilih pendekatan politik matang berbanding politik balas dendam yang hanya merugikan rakyat dan negara.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, banyak contoh boleh dilihat di peringkat Malaysia apabila setiap kali pemimpin baru mentadbir, sekecil-kecil perkara membabitkan pemimpin terdahulu dikorek sehingga tiada kesudahan.
“Negara kita hari-hari berhadapan dengan politik dendam yang tidak memberi makna kepada negara dan rakyat. Kita perlu membawa negara dengan cara yang berbeza,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, Kemaman, semalam.
Ahmad Samsuri berkata Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk memulihkan projek terbengkalai dan meneruskan agenda pendidikan serta pembangunan modal insan.
“Kita tidak menutup Imtiaz, malah kita tambah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dan jabatan pendidikan Islam lain,” katanya.
“Namun begitu, pelaksanaan pembangunan bergantung kepada peruntukan yang diperoleh kerajaan negeri. Kalau peruntukan dipegang oleh pihak lain, bagaimana kita hendak melaksanakan projek? Maka, kita terpaksa ikhtiar dengan cara berbeza,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan Bantuan Kewangan Pendidikan yang telah lama wujud di Terengganu akan diteruskan dan diperkasakan.
“Dalam aspek syariah dan pentadbiran Islam, kerajaan negeri melaksanakan apa yang boleh mengikut undang-undang sedia ada dan memperkemaskan Kanun Jenayah Syariah dan Takzir.
“Mana yang boleh kita buat, kita buat. Mana yang tidak boleh, kita tangguh dulu,” ujarnya.