Home Minda Presiden

Politik cari makan, mahukan jawatan

139
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 30 / 2023]
POLITIK CARI MAKAN, MAHUKAN JAWATAN


Kata-kata sinis seperti politik untuk mencari makan atau mahukan jawatan sering kali diucapkan oleh masyarakat umum tanpa pengetahuan yang mendalam. Hal ini menunjukkan kejahilan mereka terhadap perkara besar dalam Islam, dan kata-kata begini sentiasa diulang dalam sejarah sejak perjuangan para Rasul AS.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) secara khusus pihak yang paling kerap menjadi sasaran. Sesiapa yang menyertai PAS akan dihentam habis-habisan, kerana bagi mereka parti yang bercirikan agama paling tidak munasabah untuk menjadi tempat mencari makan. Walaupun tawarannya tidak mengutamakan kebendaan tetapi hanya menginginkan pahala daripada Allah SWT, dituduh juga ingin mencari makan. Sekalipun bersama PAS ini menyebabkan lebih banyak halangan untuk mencari makan.

Al-Quran mendedahkan bahawa kata-kata ini pernah diucapkan oleh golongan jahiliah yang menentang para rasul yang dipilih oleh Allah SWT untuk berdakwah dan berpolitik serta menjadi teladan kepada seluruh manusia. Firman Allah SWT:

﴿وَمَآ أَرۡسَلۡنَا قَبۡلَكَ مِنَ ٱلۡمُرۡسَلِينَ إِلَّآ إِنَّهُمۡ لَيَأۡكُلُونَ ٱلطَّعَامَ وَيَمۡشُونَ فِي ٱلۡأَسۡوَاقِۗ وَجَعَلۡنَا بَعۡضَكُمۡ لِبَعۡضٖ فِتۡنَةً أَتَصۡبِرُونَۗ وَكَانَ رَبُّكَ بَصِيرٗا٢٠﴾

“Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelum kamu (wahai Muhammad), melainkan mereka sungguh memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian daripada kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar? Dan (ingatlah) Dialah Tuhanmu yang Maha Melihat.” (Surah al-Furqan: 20)

Firman Allah SWT lagi:

﴿فَقَالَ ٱلۡمَلَؤُاْ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن قَوۡمِهِۦ مَا هَٰذَآ إِلَّا بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُرِيدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيۡكُمۡ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَنزَلَ مَلَٰٓئِكَةٗ مَّا سَمِعۡنَا بِهَٰذَا فِيٓ ءَابَآئِنَا ٱلۡأَوَّلِينَ٢٤﴾

“Maka, ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata (sesama sendiri), ‘Orang ini (Rasul) tidak lain hanyalah seorang manusia seperti kamu, yang bertujuan hendak menjadi seorang yang lebih tinggi daripada kamu. Dan kalau Allah menghendaki, tentulah Dia mengutuskan malaikat menjadi Rasul-Nya. Kami tidak pernah mendengar (seruan seperti) ini pada zaman nenek moyang kami yang dahulu.’” (Surah al-Mu’minun: 24)

Oleh kerana ramai para rasul terpaksa bekerja untuk mencari makan dan berjuang, musuh telah memberikan tawaran kemewahan kepada para rasul untuk kemudahan hidup mereka. Dengan syarat para rasul itu hendaklah menolak petunjuk Allah, lalu diganti dengan yang lain mengikut kemahuan mereka. Sebenarnya, itulah politik mereka yang tidak bertanggungjawab dalam menunaikan amanah Allah SWT.

Dari sudut makan, minum dan kemahuan nafsu serta jasad, secara umumnya terdapat persamaan antara manusia dan binatang. Malah, dalam kalangan binatang juga ada perbezaan dari sudut makanan, kerana banyak jenis habitatnya mengikut tempat tinggal semula jadi bagi memenuhi keperluan makanan, tempat tinggal dan keselamatan kepada flora dan fauna.

Tumbuh-tumbuhan pula memerlukan baja dan air, manakala para malaikat tidak perlu kepada makan dan minum. Perbezaan yang jauh juga berlaku antara manusia, binatang dan lain-lain makhluk kerana perbezaan fitrahnya.

Adapun manusia pula mengikut keperluan jasad, roh dan akal. Maka, ada batas halal dan haramnya, tidak seperti binatang dan lain-lain yang ada sempadannya yang lain.

Dilihat pula kepada matlamat diciptakan manusia itu, tujuannya untuk hidup bagi menunaikan hikmah yang besar mengikut ketetapan Allah SWT yang meletakkan mereka di alam dunia. Tanpa makan, mereka tidak boleh menjalankan tugasnya.

Adapun Allah SWT telah menetapkan bahawa kehidupan binatang di alam dunia juga memerlukan makanan mengikut ketetapan Allah bagi digunakan oleh manusia, sama ada untuk dimakan, atau tujuan-tujuan yang lain. Jika binatang tidak memerlukan makanan, maka tubuhnya menjadi kurus tanpa daging untuk dimakan, begitu juga untuk tujuan-tujuan yang lain.

Para malaikat pula bertugas sepanjang masa tanpa makan dan minum, kerana penciptaannya yang tidak berjasad dan bernafsu. Maka, tidak boleh disamakan manusia mencari makan dengan binatang yang juga mencari makan, apatah lagi para malaikat yang tidak perlu makan, kerana fitrah yang berlainan.

Tidak sama tujuan makan antara orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يُدۡخِلُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يَتَمَتَّعُونَ وَيَأۡكُلُونَ كَمَا تَأۡكُلُ ٱلۡأَنۡعَٰمُ وَٱلنَّارُ مَثۡوٗى لَّهُمۡ١٢﴾

“Sesungguhnya, Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir meni‘mati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” (Surah Muhammad: 12)

Semua makhluk itu wajib mencari makan kalau fitrahnya makan, mengikut tujuan diciptakan. Sama ada makan untuk hidup atau hidupnya untuk makan, dimakan dan lain-lain.

Tidak kiralah sama ada manusia itu seorang rasul sekalipun, termasuk juga orang politik, ahli ibadat dan lain-lain tanpa mengira baik atau jahat, semuanya berhajat kepada makanan yang dicari dan diusahakan. Sesungguhnya, manusia itu akan dihisab amalannya oleh Allah pada Hari Kiamat, sepertimana firman Allah SWT:

﴿أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ١١٥﴾

“Maka, adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu secara main-main sahaja? Dan bahawa kamu (pula menyangka) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-Mu’minun: 115)

Ilmu Maqasid al-Syari‘ah menetapkan lima keperluan hidup manusia yang wajib dijaga iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Antara tujuan harta adalah menyediakan makanan, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan segala keperluan yang lain.

Allah SWT telah menetapkan bagi semua aspek adanya hukum syariat yang ditetapkan, termasuk dalam ekonomi dan segala cabangnya. Ada yang wajib, sunat, harus, makruh dan haram, sama ada dalam mencari keperluan itu atau menggunakannya.

Termasuklah aspek politik bagi mentadbir semua urusan yang berkaitan, dan semuanya tidak boleh dipisahkan sama sekali termasuklah soal makan, minum, pakaian dan lain-lain yang tidak boleh dipisahkan. Semuanya dalam hisab di sisi Allah juga mengikut tujuannya.

Allah SWT menetapkan secara terperinci peruntukan harta bagi makan minum Rasulullah SAW dan keluarganya kerana ia berkait dengan sifat tabii yang ada pada manusia tanpa sebarang perbezaan. Firman Allah SWT:

﴿مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٧﴾

“Apa saja harta yang dipungut (fay’) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal dari penduduk kota, maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar antara orang-orang kaya sahaja antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat keras hukumannya.” (Surah al-Hasyr: 7)

Maka, para khalifah dan raja Islam yang memerintah negara menetapkan peruntukan kewangan bagi keperluan dirinya dan semua petugasnya untuk memberikan nafkah yang cukup. Maka, cakap-cakap bekerja dan bertugas tanpa apa-apa peruntukan hanya cakap bohong.

Ada juga orang yang bekerja secara sukarela tanpa gaji dan upah kerana ada sumber yang lain bagi keperluan dirinya, termasuk makan dan minum. Termasuk semua urusan hidup manusia berkait dengan makan dan lain-lain bagi keperluan jasadnya.

Para ulama’ menetapkan kaedah umum:

الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا.

“Semua perkara itu mengikut tujuannya.”

Maka, untuk mencapai tujuan suatu perkara yang wajib, maka mencari keperluannya juga wajib, termasuklah mencari makan. Kalau tujuannya haram, maka haramlah juga. Oleh itu, dapat disimpulkan jika tujuan mencari itu kerana menunaikan amal yang baik, maka mencari makan pun akan dikurniakan pahala juga. Begitu juga kalau tujuannya membolehkan kerja haram, maka haramlah memakannya.

Justeru, Islam mengajar supaya menyebut ‘Bismillah’ apabila makan berserta doanya, dan ‘Alhamdulillah’ apabila selesai berserta doanya yang khusus. Begitulah juga dalam melakukan urusan lain yang semuanya ada kaitan dengan urusan agama.

Termasuklah urusan politik yang terkandung dalam ketetapan Allah SWT kepada manusia yang telah diisytiharkan ketika mencipta Nabi Adam AS. Firman Allah SWT:

﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠﴾

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi’. Mereka bertanya: ‘Adakah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya’.” (Surah al-Baqarah: 30)

Allah SWT meletakkan para pemimpin, sama ada khalifah, atau imam yang mentadbir negara, daripada kalangan manusia yang menjadi pilihan-Nya. Firman Allah SWT:

﴿وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ٢٤ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفۡصِلُ بَيۡنَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ٢٥﴾

“Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang memberikan petunjuk dengan perintah Kami, selama mereka bersikap sabar serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami. (24) (Pertentangan antara satu golongan dengan golongan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukum-Nya antara mereka pada Hari Kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya. (25)” (Surah al-Sajdah: 24-25)

Rasulullah SAW meletakkan senarai tujuh jenis manusia pilihan Allah SWT yang mendapat naungan istimewa pada Hari Kiamat:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ، فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ، اْلإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ، وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ، وَجَمَالٍ، فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى، حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا، فَفَاضَتْ عَيْنَاه.

“Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya. Pemimpin yang adil, pemuda yang menyibukkan dirinya beribadah kepada Allah SWT, seorang yang hatinya selalu terikat dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisahnya kerana Allah, seseorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita yang kaya dan cantik, lalu dia menolaknya sambil berkata, ‘Aku takut kepada Allah’. Seseorang yang bersedekah dengan secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta seorang yang berzikir mengingati Allah di kala sendiri hingga mengalir air matanya.” (Riwayat Bukhari, no. 620)

Pertama ialah pemimpin yang adil, dikuti oleh kalangan yang dapat mengawal nafsu harta dan diri. Adapun orang yang menangis berzikir dengan ikhlas diletakkan di tempat ketujuh.

Allah SWT melipatgandakan pahala sumbangan dan perbelanjaan perjuangan menegakkan Islam sehingga berkuasa mengatasi segala yang lain, dengan firman-Nya:

﴿مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنۢبُلَةٖ مِّاْئَةُ حَبَّةٖۗ وَٱللَّهُ يُضَٰعِفُ لِمَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ٢٦١﴾

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah: 261)

Fadilat yang berganda itu disebabkan fitnah yang banyak menjadi ujian diri para pejuang dan penyumbangnya. Sehingga Allah menyebutkan kelebihan pahala difitnah dan dihina sehingga dibenci. Firman Allah SWT:

﴿… ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ لَا يُصِيبُهُمۡ ظَمَأٞ وَلَا نَصَبٞ وَلَا مَخۡمَصَةٞ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَطَ‍ُٔونَ مَوۡطِئٗا يَغِيظُ ٱلۡكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِنۡ عَدُوّٖ نَّيۡلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُم بِهِۦ عَمَلٞ صَٰلِحٌۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجۡرَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ١٢٠ وَلَا يُنفِقُونَ نَفَقَةٗ صَغِيرَةٗ وَلَا كَبِيرَةٗ وَلَا يَقۡطَعُونَ وَادِيًا إِلَّا كُتِبَ لَهُمۡ لِيَجۡزِيَهُمُ ٱللَّهُ أَحۡسَنَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ١٢١﴾

“…Oleh yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan daripada pihak musuh – melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka, (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya, Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (120) Dan tidak pula mereka membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil, atau yang besar; dan tidak mereka melintas sesuatu lembah, melainkan ditulis pahala bagi mereka, supaya Allah membalas dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan. (121)” (Surah al-Tawbah: 120-121)

Allah SWT menyatakan kepada golongan yang melaksanakan perintah Allah SWT dan bersikap simpati terhadap mereka yang jahil:

﴿وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا٦٣﴾

“Dan hamba-hamba (Allah) al-Rahman (yang diredai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan rendah hati, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.” (Surah al-Furqan: 63)

Allah SWT juga memberikan peringatan pula kepada mereka yang jahil supaya berhati-hati dalam pendirian dan ucapannya:

﴿وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا٣٦﴾

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah al-Isra’: 36)

Akhirnya, orang yang bersama perjuangan Islam mesti diuji oleh Allah SWT, sebaliknya mereka yang sekadar bertujuan untuk mencari makan mesti tercampak keluar. Firman Allah SWT:

﴿لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ يُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ٤٢﴾

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafiq itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata, ‘Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu.’ (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).” (Surah al-Tawbah: 42)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 27 Ramadan 1444 / 18 April 2023