Home Berita PAS Terengganu

Polisi Amerika Syarikat (AS) memakan diri sendiri – Ustaz Khalil

100
SHARE

KUALA TERENGGANU – Polisi Amerika Syarikat (AS) “sama ada kamu bersama dengan kami atau menentang kami,” gagal bahkan memakan diri sendiri dengan pengunduran tenteranya dari bumi Afghanistan baru-baru ini.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan yang diambil oleh AS disifatkan sebagai terburu-buru kerana mengkambinghitamkan Islam dan umatnya dengan mencetuskan Islamifobia di kalangan masyarakat dunia.

“Ini berlaku dengan cara memasukkan sekali keseluruhan umat Islam bahkan agama Islam itu sendiri dengan kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh seorang individu dan sebuah pertubuhan,

“maka agama Islam dan seluruh umat Islam dipalitkan sekali.di atas nama perang menentang keganasan sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam Forum bertajuk“Masa Depan Kerajaan Taliban di Afghanistan?,” yang dianjurkan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) secara atas talian, pada Isnin 18 Oktober.

Turut hadir sebagai ahli panel dalam forum tersebut, Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd Nor.

Ustaz Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk menambah, agenda AS kononnya untuk menghapuskan keganasan di Afghanistan adalah satu tindakan yang bersifat hawa nafsu.

Katanya, ia bukan berdasarkan kepada logik, fakta dan data yang nyata menatijahkan huru hara politik di seluruh dunia khususnya di dunia Islam pada hari ini.

“Kita melihat kempen AS ini memakan dirinya sendiri menunjukkan kegagalannya dalam kempen tersebut sehingga terpaksa mengorbankan tentera dan menghabiskan sejumlah perbelanjaan begitu besar berbilion Dolar AS.

“Yang paling malang sekali ialah umat Islam khususnya rakyat Afghanistan menjadi mangsa kempen AS berkenaan,” ujarnya.

Katanya, puluhan ribu yang terbunuh, tidak mengenali negara AS dan mereka juga tidak mengenali World Trade Centre (Pusat Dagangan Antarabangsa) yang menjadi pusat serangan tersebut termasuk dari kalangan kanak-kanak, perempuan dan orang tua.

“Bahkan kita melihat bagaimana badan antarabangsa yang membuat siasatan terhadap tingkah laku tentera Barat melanggar hak asasi manusia, membunuh rakyat Afghanistan yang tidak berdosa,” ujarnya lagi.

Ini katanya, merupakan kegagalan AS dalam melancar misi serangan terhadap Afghanistan sejak tahun 2001 sehingga berundurnya tentera AS dari bumi Afghanistan baru-baru ini.

“ Ia adalah satu balasan dari Allah SWT dan menunjukkan bahawa bumi Afghanistan adalah bumi yang diberkati Allah sekaligus sebagai tanah kubur bagi kuasa-kuasa besar dunia termasuk Soviet Union dan AS,” jelasnya.