DUNGUN – Polis Daerah Dungun hari ini mengeluarkan arahan tegas melarang orang ramai daripada menghampiri kawasan pantai dan taman rekreasi sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda negeri Terengganu.
Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan masyarakat serta mengelakkan sebarang insiden tidak diingini susulan cuaca buruk.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, keadaan cuaca ketika ini amat berisiko dan memerlukan kerjasama penuh daripada masyarakat.
“Musim Monsun Timur Laut membawa ombak besar, angin kencang dan hujan lebat. Ini boleh mengundang bahaya kepada pengunjung pantai dan kawasan rekreasi berhampiran sungai,” jelasnya menerusi satu kenyataan dikeluarkan di laman sosial Facebook Polis Dungun.
Beliau turut menegaskan bahawa orang ramai perlu mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan demi kebaikan bersama.
“Kita minta masyarakat mengelakkan sebarang aktiviti riadah di pantai seperti mandi laut, memancing atau berkelah.
“Jangan sesekali menghampiri kawasan sungai yang berarus deras, dan patuhi semua papan tanda amaran serta arahan pihak berkuasa.
“Ibu bapa turut diingatkan agar sentiasa mengawasi anak-anak mereka dan tidak membenarkan mereka bermain di kawasan berisiko,” tambahnya.
Dalam pada itu, Superintenden Maizura memaklumkan bahawa pihak polis akan mempertingkatkan rondaan di beberapa kawasan tumpuan ramai.
“Rondaan akan dipertingkatkan di Pantai Teluk Lipat, Pantai Tanjung Jara dan beberapa kawasan rekreasi sungai di seluruh daerah. Ini bagi memastikan arahan dipatuhi dan mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
“Keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Jangan ambil mudah amaran pihak berkuasa. Sama-sama kita berdoa agar musim tengkujuh ini berlalu dengan selamat,” katanya.
Orang ramai digalakkan mengisi masa dengan aktiviti di rumah atau lokasi yang selamat serta mengikuti perkembangan cuaca melalui saluran rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.





