Home Berita PAS Terengganu

Polis tahan tiga suspek curi kabel

33
SHARE

BESUT – Tiga lelaki dipercayai suspek kes curi kabel milik Telekom Malaysia (TM) telah ditahan pihak polis dalam satu aksi kejar-mengejar, di sini pada jam 3.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Suptritendan Azamuddin Ahmad berkata, berdasarkan maklumat awam sepasukan anggota dari Balai Polis Jerteh telah melakukan risikan dan rondaan di kawasan Kampung Gerai, sebelum terserempak dengan tiga buah kenderaan pacuan empat roda yang mencurigakan.

“Menyedari kehadiran pihak polis, suspek-suspek terbabit melarikan diri menghala ke Pekan Jerteh dan polis berjaya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda itu setelah mengejar kira-kira satu kilometer.

“Kita berjaya menahan tiga orang lelaki berumur lingkungan 20an ke 30an dan hasil semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod jenayah lampau.

“Sebuah kenderaan pacuan empat roda bermuatan kabel milik TM serta perkakasan digunakan juga berjaya dirampas,” katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka telah direman selama empat hari bagi mengenalpasti penglibatan dalam kes-kes berkaitan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya dan, bagi kesalahan kedua atau kemudiannya, boleh dihukum dengan penjara dan denda atau sebat.