Home Berita PAS Terengganu

Pok Din tabah teruskan warisan pembuatan arang

6
SHARE

Oleh : Fatimah Din

MARANG – Walaupun terpaksa berhadapan pelbagai cabaran Samsuddin Abdullah, 58, tetap tabah mengharunginya demi untuk meneruskan warisan pembuatan arang.

Lebih dikenali sebagai Pok Din menjelaskan  antara cabarannya ialah ketiadaan kayu untuk dibuat arang kerana hanya kayu jenis akasia dan  jambu sahaja yang sesuai untuk diproses.

“Paling penting ada kayu, tak boleh ambil kayu sewenang-wenangnya, kayu yang boleh diambil untuk buat arang antaranya kayu akasia dan kayu jambu.

“Sebulan jika banyak kayu, boleh dapat dalam RM 5,000 dan bukan setiap hari,   kadang tu dapat dalam RM 1,000 sehingga RM1,500 sahaja.

“Kalau tidak ada kayu, tidak adalah duit bulan itu, jika musim hujan, kayu tiada, jadi pendapatan tidak menentu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada semalam.

Pengusaha ‘Arang Pok Din bersama isteri dan dua anaknya sejak tujuh tahun lalu di Kampung Pulau Kerengga, kini turut terkesan dengan kos bahan binaan yang semakin tinggi di pasaran berikutan kenaikan harga diesel.

“Untuk buat tempat bakar arang pula kita bina guna bata tanah liat sekitar 4000 hingga 4500 biji bata, selut iaitu campuran tanah dan pasir,” ujarnya.

Tambah Pok Din, antara pelanggan yang pernah berurusan dengannya adalah dari Kuantan, Dungun, Pasir Putih, Rhu Muda, Pulau Redang dan sekitarnya.

“Untuk luar negeri, kita tak hantar sebab jauh,” katanya.